JAKARTA, 7 Jan (Bernama) -- Kerajaan Indonesia menyediakan peruntukan antara 53 hingga 60 trilion rupiah bagi tindak balas kecemasan bencana di bawah Belanjawan Negara 2026 (APBN).
Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata dana berkenaan boleh digunakan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan atau bencana.
“Berhubung isu berkaitan bencana, pengiraan akhir masih dijalankan dan dianggarkan mencecah antara 53 hingga 60 trilion rupiah, yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan Negara 2026.
“Dana sedia guna ini diperuntukkan kepada Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dan boleh digunakan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan atau bencana,” katanya seperti dipetik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Presiden pada Rabu.
Prasetyo berkata kerajaan turut memperuntukkan dana berasingan bagi pemulihan pascabencana.
“Bagi proses pemulihan dan pembinaan semula dan pemulihan kemudahan awam, terdapat peruntukan di luar dana sedia guna,” katanya.
Perbelanjaan negara dalam Belanjawan Negara 2026 yang diluluskan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada akhir September 2025, ditetapkan sebanyak 3,842.7 trilion rupiah, manakala hasil negara diunjurkan pada 3,153.6 trilion rupiah, dengan defisit fiskal dianggarkan pada 2.68 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Prasetyo berkata Belanjawan Negara 2026 dijangka memberikan manfaat ketara kepada rakyat dan ekonomi demi Indonesia yang berdaulat, adil dan makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial