BERITA TERGEMPAR   Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | 
 DUNIA > BERITA

JUALAN KERETA BAHARU UK LEBIHI 2 JUTA UNIT PADA 2025 SEIRING PENINGKATAN PERMINTAAN KENDERAAN ELEKTRIK

06/01/2026 04:33 PM

LONDON, 6 Jan (Bernama-Xinhua)  -- Jualan kereta baharu di Britain melebihi 2 juta unit pada 2025 buat kali pertama sejak pandemik, didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) serta kehadiran jenama kereta China yang semakin berkembang, lapor Xinhua dengan memetik data industri pada Selasa.

Sebanyak 2.02 juta kereta baharu didaftarkan di Britain tahun lepas, meningkat 3.5 peratus berbanding 2024, menurut angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengilang dan Peniaga Motor (SMMT). Walaupun masih di bawah paras prapandemik sebanyak 2.31 juta unit yang direkodkan pada 2019, jumlah itu menandakan kembalinya industri kepada purata tahunan jangka panjangnya.

EV menyumbang kira-kira 23 peratus daripada jumlah pendaftaran pada 2025, dengan jualan kereta elektrik sepenuhnya meningkat hampir satu perempat tahun ke tahun ke paras rekod.

Jenama China terus mendapat penerimaan lebih meluas dalam kalangan pengguna Britain, dengan pendaftaran model elektrik dan hibrid daripada pengeluar seperti BYD, MG dan Chery meningkat secara berterusan. Angka awal menunjukkan pengeluar China menyumbang hampir 10 peratus daripada pendaftaran kereta baharu pada 2025, hampir dua kali ganda bahagian mereka berbanding setahun sebelumnya.

Menurut SMMT,  peningkatan itu mencerminkan penerimaan pengguna yang lebih meluas terhadap model elektrik bateri dan hibrid “plug-in”, walaupun kemajuan keseluruhan ke arah elektrifikasi masih tidak sekata.

Ketua Pegawai Eksekutif SMMT Mike Hawes berkata pemulihan industri “belum lengkap,” sambil memberi amaran yang pertumbuhan tertumpu secara ketara kepada segmen pasaran tertentu. Beliau menegaskan bahawa permintaan EV disokong oleh insentif besar daripada pengeluar dan menyifatkan kadar pertumbuhan jualan semasa sebagai “rapuh.”

Menurut SMMT, pengeluar menawarkan diskaun dianggarkan bernilai £5.5 bilion (kira-kira US$7.45 bilion) tahun lepas bagi merangsang permintaan EV dan mematuhi mandat kenderaan sifar pelepasan kerajaan. Di bawah skim itu, pembuat kereta diwajibkan memenuhi sasaran tahunan yang semakin meningkat bagi jualan kenderaan sifar pelepasan atau berdepan penalti kewangan.

Walaupun prestasi Disember lebih kukuh, jualan EV masih tidak mencapai sasaran tahunan kerajaan, mendorong SMMT menggesa semakan awal terhadap mandat itu bagi memberikan kepastian dasar yang lebih besar kepada industri dan pengguna.

Badan industri itu turut menyatakan bahawa tekanan ekonomi yang lebih luas, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos terus menimbulkan cabaran kepada sektor automotif Britain, walaupun jualan keseluruhan menunjukkan tanda penstabilan.

--BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan