DUNIA > BERITA

LAPANGAN TERBANG BALI PASANG PENGIMBAS TERMA BAGI KESAN KES SUPER FLU

06/01/2026 09:24 PM

BADUNG (Bali), 6 Jan (Bernama-ANTARA) -- Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai di Bali memasang pengimbas terma bagi menghalang penumpang yang disyaki dijangkiti Super Flu, juga dikenali sebagai influenza A H3N2 subklad K, daripada memasuki negara itu,  lapor agensi berita ANTARA.

Pengurus Besar lapangan terbang itu, Nugroho Jati, pada Isnin berkata pengimbas terma yang digunakan adalah peralatan sama yang dipasang semasa pandemik COVID-19.

Penggunaan semula peralatan itu adalah berdasarkan persamaan corak gejala, yang membolehkan pihak berkuasa lapangan terbang segera mengasingkan penumpang yang mengalami demam untuk rawatan lanjut.

“Memandangkan Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai merupakan pintu masuk antarabangsa dengan jumlah penumpang yang tinggi, saya percaya gejala yang telah kami kaji dan peroleh adalah lebih kurang sama seperti gejala selesema, justeru pengesanan lebih jelas apabila suhu badan tinggi,” kata Jati.

Beliau mengesahkan kira-kira 25 unit pengimbas berfungsi dengan baik di laluan utama ketibaan dan pelepasan bagi penerbangan antarabangsa serta domestik.

“Semua dipasang, semuanya beroperasi dengan baik dan Kementerian Kesihatan akan memberikan maklumat lanjut berhubung perkembangan serta langkah susulan,” katanya.

Setakat ini, tiada kes Super Flu dikesan dalam kalangan penumpang di lapangan terbang tersebut, yang melayani purata 66,000 penumpang setiap hari.

Bagaimanapun, Jati memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan langkah pencegahan, termasuk pemeriksaan suhu badan ke atas semua penumpang, serta menempatkan kakitangan dan petugas perubatan dalam keadaan siap siaga jika diperlukan.

“Buat masa ini, kami sedang berkerjasama dengan Agensi Kuarantin Indonesia dan Pejabat Kesihatan Pelabuhan Indonesia. Status semasa masih rendah dan kami perlu kekal berwaspada. Tiada protokol khas dilaksanakan setakat ini,” katanya.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan,  sehingga akhir Disember 2025, sebanyak 62 kes Super Flu direkodkan di lapan wilayah, dengan jumlah tertinggi di Jawa Timur, Kalimantan Selatan dan Jawa Barat.

-- BERNAMA-ANTARA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan