DUNIA > BERITA

XI KEMUKA LIMA CADANGAN UNTUK PERTUMBUHAN EKONOMI ASIA-PASIFIK

31/10/2025 03:21 PM

GYEONGJU, 31 Okt (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping mengemukakan lima cadangan untuk menggalakkan globalisasi ekonomi yang inklusif berdasarkan nilai universal, serta pembinaan Komuniti Asia-Pasifik.   

Xi mengemukakan lima cadangan itu dalam ucapan pada sesi pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-32 yang diadakan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, ketika dunia bergelut dengan perubahan drastik dan pergolakan yang tiada tolok banding sebelum ini,  faktor ketidakstabilan serta ketidaktentuan yang dihadapi pembangunan di rantau Asia-Pasifik semakin bertambah.

“Pelbagai negara perlu mempertahankan inspirasi dan manifesto APEC untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat, berkongsi  peluang dan mewujudkan situasi sama menang dalam pembangunan yang terbuka," kata Xi.  

Untuk mencapai tujuan ini, beliau mencadangkan agar pelbagai pihak bersama-sama melindungi sistem perdagangan pelbagai hala, mewujudkan persekitaran ekonomi serantau yang terbuka, mengekalkan kestabilan dan kelancaran rantaian industri dan bekalan, memajukan perdagangan digital dan mesra alam, serta memacu pembangunan yang terangkum berdasarkan nilai universal.

Pemimpin itu berkata, China konsisten dalam melaksanakan dasar asas negara tentang peningkatan tahap keterbukaan dan menyumbang kepada pembinaan ekonomi global yang terbuka.

“China tidak akan menutup pintunya kepada luar, sebaliknya akan menjadikannya semakin terbuka.

“Sidang Pleno Keempat Jawatankuasa Pusat penggal ke-20 Parti Komunis China (PKC) yang diadakan baru-baru ini telah meluluskan cadangan mengenai penggubalan Rancangan Pembangunan Lima Tahun ke-15 (2026-2030).

“Kami akan mengambil peluang ini untuk terus memperincikan pembaharuan secara menyeluruh dan meningkatkan tahap keterbukaan, yang diyakini dapat menyediakan peluang baharu kepada dunia terutama Asia-Pasifik melalui pencapaian baharu yang dilakar dalam modenisasi ala China,” kata beliau.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan