DUNIA > BERITA

ANGKA KORBAN BANJIR KILAT DI KEPULAUAN SITARO INDONESIA MENINGKAT KEPADA 16 ORANG

06/01/2026 09:28 PM

JAKARTA, 6 Jan (Bernama) -- Angka korban akibat banjir kilat di Kepulauan Sitaro, utara Sulawesi meningkat kepada 16 orang setakat petang Selasa, manakala tiga lagi dikhuatiri masih hilang.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) dalam kemas kini terbarunya menyatakan 22 orang cedera dalam bencana itu dan dibawa ke kemudahan kesihatan berhampiran untuk rawatan, manakala dua lagi dihantar ke kemudahan kesihatan di Manado untuk rawatan lanjut.

Sekurang-kurangnya 682 mangsa dipindahkan akibat banjir setakat ini, kata Ketua Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari dalam kenyataan.

Banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat berterusan itu menyebabkan jalan raya dilitupi batu serta lumpur dan menenggelamkan kawasan perumahan berhampiran.

BNPB memaklumkan empat daerah terjejas iaitu Siau Timur, Siau Timur Laut, Siau Barat dan Siau Barat Daya.

Banjir kilat tersebut turut menyebabkan kerosakan kepada harta benda serta infrastruktur dan kemudahan awam.

Pihak berkuasa masih dalam proses menilai jumlah kerugian.

Sebagai maklum balas terhadap kecemasan itu, kerajaan tempatan mengisytiharkan tempoh darurat bencana selama 14 hari bermula 5 Jan hingga 18 Jan 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan