JAKARTA, 8 Jan (Bernama) -- Indonesia menyasarkan untuk memulihkan operasi penuh di semua kemudahan kesihatan di kawasan yang dilanda banjir dan tanah runtuh di Sumatera seawal Mac ini, ketika pihak berkuasa mempercepat usaha pemulihan pascabencana susulan gangguan meluas yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.
Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin berkata usaha pemulihan memasuki fasa ketiga pada awal Januari selepas pihak berkuasa menyelesaikan penilaian dan kerja pembaikan di 87 hospital dan 867 pusat kesihatan masyarakat (puskesmas) dalam dua fasa pertama.
Bercakap pada sidang media harian Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) pada Rabu, Sadikin berkata fasa ketiga memberi tumpuan kepada pemulihan fungsi penuh peralatan dan aset perubatan, termasuk komputer dan katil hospital, di semua kemudahan yang terjejas.
Beliau berkata kesemua 87 hospital, termasuk sembilan yang dinaiki air sehingga ke paras pinggang telah menyambung semula operasi dalam tempoh dua minggu semasa Fasa Pertama, diikuti pemulihan perkhidmatan di 867 pusat kesihatan masyarakat di bawah Fasa Kedua pada minggu ketiga Disember.
“Alhamdulillah, pada awal Januari hanya tiga kemudahan yang masih belum dapat beroperasi iaitu Rusip Antara di Aceh Tengah, Jambur Lak Lak di Aceh Tenggara dan Lokop di Aceh Timur,” katanya.
Menurut data BNPB, banjir dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah di Sumatera - iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat - pada akhir November tahun lalu mengorbankan 1,178 nyawa dan menyebabkan lebih 238,500 orang hilang tempat tinggal.
Pada Rabu, Presiden Prabowo Subianto mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Pemulihan Pascabencana Kebangsaan yang akan dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian.
Sadikin berkata kira-kira 4,000 sukarelawan telah digerakkan sepanjang tempoh pemulihan pascabencana, terdiri daripada anggota pelbagai institusi dan organisasi termasuk Doctors Without Borders, pertubuhan profesional, universiti dan politeknik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial