DUNIA > BERITA

TOKOH SARJANA, DERMAWAN SELURUH DUNIA DINAMAKAN PENERIMA ANUGERAH RAJA FAISAL 2026

10/01/2026 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Tokoh sarjana, dermawan dan saintis dari seluruh dunia diumumkan sebagai penerima Anugerah Raja Faisal 2026, yang mengiktiraf sumbangan cemerlang dalam lima kategori - Khidmat kepada Islam, Pengajian Islam, Bahasa dan Sastera Arab, Perubatan serta Sains.

Menurut kenyataan Sekretariat Agung Anugerah Raja Faisal, para penerima dipilih selepas siri mesyuarat yang diadakan dari 5 hingga 7 Jan.

Jawatankuasa pemilihan anugerah meneliti pencalonan dari seluruh dunia dan, bagi beberapa kategori, memutuskan untuk menganugerahkan hadiah tersebut secara bersama.

Anugerah Raja Faisal 2026 bagi Khidmat kepada Islam diberikan bersama kepada Sheikh Abdul Latif Ahmad Al-Fawzan, warganegara Arab Saudi dan Pengerusi Lembaga Pengarah Al-Fawzan Company, serta Profesor Dr Muhammad Muhammad Abu Musa, warga Mesir dan profesor di Universiti Al-Azhar.

“Abdul Latif diiktiraf atas pendekatan tersendiri dalam kerja kebajikannya, termasuk penubuhan Waqf Ajwad sebagai platform komuniti bagi membangunkan inisiatif kemanusiaan, selain penubuhan puluhan pusat Islam dan wakaf kediaman untuk pelajar di beberapa negara Islam.

“Muhammad Muhammad menerima anugerah itu sebagai pengiktirafan atas penulisannya yang melebihi 30 buku dalam pengajian bahasa Arab, khususnya dalam retorik, bertujuan untuk menjelaskan mukjizat retorik al-Quran,” menurut kenyataan itu.

Sebagai ahli pengasas Majlis Ulama Kanan di Universiti Al-Azhar, Muhammad Muhammad telah mengetuai lebih 300 halaqah ilmiah di Masjid Al-Azhar, membantu menjadikan teks warisan klasik lebih mudah diakses generasi muda.

Bagi Anugerah Raja Faisal untuk Pengajian Islam, anugerah itu diberikan secara bersama kepada Profesor Dr Abdul Hamid Hussein Hamouda, warganegara Mesir dan profesor di Universiti Fayoum, serta Profesor Dr Muhammad Wahib Hussein, warganegara Jordan dan profesor di Universiti Hashemite.

Di bawah tema “Sastera Arab dalam Bahasa Perancis,” Anugerah Raja Faisal bagi Bahasa dan Sastera Arab diberikan kepada Profesor Pierre Larcher, warganegara Perancis dan profesor di Universiti Aix-Marseille, sebagai pengiktirafan terhadap usahanya memperkenalkan sastera Arab kepada khalayak penutur bahasa Perancis dengan kreativiti dan keaslian.

Anugerah Raja Faisal untuk Perubatan, bertemakan “Penemuan Transformasi dalam Rawatan Obesiti,” diberikan kepada Profesor Svetlana Mojsov, warganegara Amerika Syarikat dan profesor di Universiti Rockefeller, atas peranan perintisnya dalam penemuan yang membawa kepada rawatan baharu bagi diabetes dan obesiti.

Sementara itu, Anugerah Raja Faisal bagi Sains untuk 2026, bertema “Matematik,” diberikan kepada Profesor Carlos Kenig, warganegara Amerika Syarikat dan profesor di Universiti Chicago, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam analisis matematik, khususnya dalam persamaan pembezaan separa bukan linear, yang telah menyediakan teknik yang diguna pakai secara meluas oleh para penyelidik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan