DUNIA > BERITA

ANGKASAWAN NASA TINGGALKAN ISS RABU SUSULAN ISU KESIHATAN

10/01/2026 09:06 PM

WASHINGTON, 10 Jan (Bernama-dpa) -- Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) pada Jumaat memaklumkan pihaknya bercadang untuk memulakan proses kepulangan awal empat anggota pasukan Kru-11 dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Agensi itu merancang untuk memulakan proses keluar dok kapal angkasa berkenaan seawal 5 petang (2200 GMT), tertakluk kepada keadaan cuaca, menurut satu kenyataan daripada agensi angkasa itu.

Sekiranya segalanya berjalan seperti dirancang, angkasawan terbabit dijangka mendarat di perairan luar pantai California pada Khamis kira-kira 3.40 pagi. Masa tepat akan disahkan menjelang waktu berlepas dan bergantung kepada faktor cuaca, keadaan laut serta faktor lain.

NASA pada Khamis mengumumkan bahawa ini merupakan kali pertama dalam sejarah ISS sepasukan  kru dibawa pulang lebih awal disebabkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan seorang angkasawan.

Agensi itu tidak mendedahkan identiti anggota kru terbabit mahupun butiran mengenai masalah perubatan yang dialami, namun menyatakan ia tidak berkaitan dengan tugas di ISS dan bukan merupakan satu kecemasan. Ketua Pegawai Kesihatan dan Perubatan NASA, James Polk berkata angkasawan berkenaan berada dalam keadaan stabil.

Isu kesihatan itu sebelum ini telah menyebabkan NASA membatalkan aktiviti berjalan di ruang angkasa yang dijadualkan pada Khamis, melibatkan angkasawan Amerika Syarikat (AS), Zena Cardman dan Michael Fincke.

Mereka, bersama angkasawan Jepun Kimiya Yui dan angkasawan Rusia Oleg Platonov, telah berada di ISS sejak awal Ogos dan pada asalnya dijadualkan untuk berada di sana selama beberapa minggu lagi.

--BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan