DUNIA > BERITA

FINLAND LEPASKAN KAPAL KARGO YANG DISYAKI ROSAKKAN KABEL DATA

13/01/2026 03:27 PM

STOCKHOLM, 13 Jan (Bernama-dpa) -- Sebuah kapal kargo yang ditahan Finland berhubung kerosakan kabel data di Laut Baltik telah dibenarkan untuk berlepas, menurut polis Finland pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Siasatan ke atas kapal Fitburg telah selesai dan pihak berkuasa mengiringi kapal itu keluar dari Pelabuhan Kantvik ke perairan antarabangsa, menurut polis dalam satu kenyataan.

Fitburg berada di bawah penelitian pada 31 Dis lalu selepas syarikat telekomunikasi Elisa melaporkan kerosakan pada kabel data yang menghubungkan ibu negara Finland, Helsinki, dengan ibu kota Estonia, Tallinn.

Apabila pihak berkuasa menahan kapal itu, rantai sauhnya didapati diturunkan.

Menurut penemuan awal penyiasat Finland dan Estonia, Fitburg telah menyeret sauhnya sejauh beberapa kilometer di dasar laut.

Polis sedang menyiasat kes itu kerana disyaki melakukan kerosakan jenayah serius, cubaan melakukan kerosakan jenayah serius dan gangguan serius terhadap telekomunikasi.

Seorang kru telah ditahan pihak berkuasa Finland, manakala tiga yang lain dilarang daripada meninggalkan negara itu.

Fitburg dalam perjalanan dari St Petersburg ke Haifa ketika kejadian berlaku.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan