POLITIK > BERITA

AKMAL SALEH AKAN UMUM HASIL PERTEMUAN ESOK - AHMAD ZAHID

13/01/2026 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dijangka memaklumkan hasil pertemuannya dengan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kedudukan beliau dalam parti dan kerajaan, esok.

Ahmad Zahid berkata beliau sudah bertemu dengan ketua sayap parti itu petang tadi, sebelum menghadiri Majlis Konvokesyen Kedua Sekolah Patriotik UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini.

“Saya dah bertemu dengannya (Dr Muhamad Akmal) tadi...saya dah berikan nasihat terbaik dan beliau akan umumkan hasil pertemuan esok,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa beliau akan bertemu dengan Dr Muhamad Akmal petang ini.

Semalam, Dr Muhamad Akmal berkata beliau akan akur dengan keputusan Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berhubung kedudukan jawatan yang disandangnya ketika ini.

Dr Muhamad Akmal merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Media sebelum ini melaporkan Dr Muhamad Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada dua jawatan yang disandangnya ketika ini, selepas gesaan beliau supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi negatif daripada Ahmad Zahid.

Sementara itu, ketika dalam ucapan pada majlis konvokesyen itu, Ahmad Zahid berkata Sekolah Patriotik UMNO berkenaan bukan sekadar sebuah sekolah politik, tetapi sebuah institusi pembinaan pemikiran, watak dan jiwa perjuangan.

“Ia lahir daripada keyakinan bahawa perjuangan tidak boleh bersifat reaktif, sebaliknya mesti dirancang, dididik dan diwariskan secara teratur.

“Ia titik serah amanah untuk menyambung gagasan, memelihara nilai dan memimpin perjuangan dengan ilmu, disiplin serta kebijaksanaan…di sinilah bermulanya peranan anda semua sebagai pelapis yang akan menentukan arah parti dan masa depan negara,” katanya.

Turut hadir, kepimpinan tertinggi parti termasuk Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Konvokesyen kali kedua itu meraikan 110 graduan, merangkumi 54 graduan daripada kumpulan Patriot 2 dan 56 daripada kumpulan Patriot 3.

Penubuhan Sekolah Patriotik UMNO sejak Januari 2025 itu, merupakan inisitif untuk memastikan kesinambungan kepemimpinan berlandaskan nilai perjuangan parti dan memberi ruang kepada pemimpin muda berkembang menjadi pelapis kepimpinan parti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan