Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Ahli politik veteran British, George Galloway menyifatkan sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin sebagai sesuatu yang menonjol dalam kalangan negara Islam, sambil menekankan komitmen konsisten negara itu terhadap perjuangan tersebut.
“Kebanyakan negara di dunia tidak seperti Malaysia yang begitu dedikasi terhadap isu ini,” katanya ketika menyampaikan syarahan awam di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini pada Isnin.
Menyentuh topik “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”, Galloway yang dikenali dengan pendirian pro-Palestin berkata terdapat perbezaan dalam gerakan solidariti global terhadap Palestin.
Bekas Ahli Parlimen itu memerhatikan bahawa aktivisme awam seperti boikot dan demonstrasi besar-besaran kini lebih kerap berlaku di negara-negara Barat.
Namun, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab membebaskan rakyat Palestin pada akhirnya terletak pada bahu rakyat Palestin sendiri, serta negara Arab dan umat Islam di seluruh dunia.
“Palestin tidak akan dibebaskan dari Barat,” katanya.
“Palestin hanya boleh dibebaskan oleh rakyat Palestin, negara Arab dan umat Islam sendiri. Tanggungjawab itu terletak pada Malaysia dan negara Islam,” tambahnya.
Syarahan itu dianjurkan bersama oleh IAIS, Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Palestine Centre for Excellence, Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani (HSCPS) Universiti Malaya dan IKRAM Malaysia.
Mengulas pelan damai Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang diumumkan pada 2025, Galloway menolak inisiatif itu sebagai “tidak mempunyai harapan untuk berjaya”, dengan berhujah bahawa ia tidak mempunyai pengisian untuk membawa keamanan sebenar.
“Ia sudah mati. Ia mati sebaik sahaja ia ditulis. Tiada pelan damai,” katanya kepada pemberita selepas syarahan itu.
“Apa yang ada hanyalah niat Israel untuk terus menundukkan rakyat Palestin dan merampas tanah mereka, dan perjuangannya ialah untuk meyakinkan dunia menolak tindakan itu,” tambahnya.
Galloway berkata keamanan sebenar di Palestin hanya akan tercapai apabila hak rakyat Palestin diterima, diiktiraf dan dilaksanakan melalui “tindakan, bukan sekadar kata-kata.”
Pelan Trump bertujuan melaksanakan gencatan senjata, menamatkan perang dan menyelia pembangunan semula “Gaza Baharu”, antara objektif lain. Meskipun terdapat gencatan senjata, Israel terus melancarkan serangan, dengan angka korban dilaporkan melebihi 71,000 orang sejak Okt 2023.
Galloway turut mengkritik pengiktirafan Israel terhadap wilayah "Somaliland" sebagai sebahagian daripada apa yang disifatkannya sebagai “Greater Israel Project”, mengecam tindakan itu sebagai alat untuk terus menggugat keamanan dan keselamatan antarabangsa, khususnya di benua Afrika.
Somaliland mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991 dan sejak itu beroperasi sebagai entiti pemerintahan sendiri secara de facto, namun masih belum memperoleh pengiktirafan antarabangsa yang meluas. Israel baru-baru ini menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pertama yang mengiktirafnya secara rasmi sebagai sebuah negara merdeka, sekali gus mengundang kecaman antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial