DUNIA > BERITA

APPLE: CREATOR STUDIO TIDAK AKAN GUNA DATA PENGGUNA UNTUK LATIH AI

15/01/2026 09:10 AM

SAN JOSE (California), 15 Jan (Bernama-dpa) -- Apple menegaskan bahawa ia tidak akan menggunakan data pengguna untuk melatih kecerdasan buatan (AI) susulan pelancaran perisian kreatif baharunya, kata pengurus pemasaran produk aplikasi syarikat itu pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Dalam apa jua senario pun, kandungan yang dicipta dalam Apple Creator Studio tidak akan sesekali digunakan untuk tujuan latihan," kata Brent Chiu-Watson.

Apple menggunakan model daripada pembangun ChatGPT, OpenAI, sebagai contoh, untuk menghasilkan imej AI dalam perisian pembentangannya, Keynote. Menurut Apple, privasi pengguna kekal dilindungi.

Langganan Creator Studio menggabungkan perisian Apple untuk penyuntingan video dan pemprosesan imej, serta ciri AI baharu untuk aplikasi pejabat.

Melalui pelancaran ini, syarikat tersebut mencabar kedudukan Adobe sebagai peneraju pasaran. Pengguna tidak boleh memilih model AI mana yang digunakan untuk tugasan tertentu di belakang tabir.

Apple telah memilih apa yang dianggapnya sebagai model terbaik bagi setiap tugasan, kata Chiu-Watson.

Apple berpegang kepada prinsip untuk melengkapi kreativiti manusia dengan AI, tegas Bob Borchers, yang bertanggungjawab bagi pemasaran produk.

"Kami mahu memperluaskan keupayaan anda, bukan menggantikannya," katanya. Apple juga yakin bahawa elemen yang dicipta oleh pengguna kekal sebagai hak milik mereka sepenuhnya dan hanya mereka yang menentukan bila dan di mana ia dikongsi.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan