DUNIA > BERITA

TURKIYE, MESIR, QATAR SAMBUT BAIK PENUBUHAN JAWATANKUASA TEKNOKRAT PALESTIN BAGI GAZA

15/01/2026 01:32 PM

ISTANBUL, 15 Jan (Bernama-Anadolu) -- Turkiye, Mesir dan Qatar menyambut baik penubuhan sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin untuk mentadbir Semenanjung Gaza yang diketuai Dr Ali Abdel Hamid Shaath, dan menyifatkannya sebagai “perkembangan penting” ke arah mengukuhkan kestabilan dan menambah baik situasi kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sebagai pengantara, negara-negara berkenaan menzahirkan harapan agar penubuhan jawatankuasa itu akan memudahkan pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza selaras dengan pelan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, “seterusnya menyumbang kepada pengukuhan gencatan senjata dan mengelakkan peningkatan semula ketegangan,” menurut kenyataan bersama yang dikongsikan Kementerian Luar Turkiye pada Rabu.

Negara-negara itu turut menekankan keperluan semua pihak mematuhi sepenuhnya perjanjian berkenaan untuk mencapai keamanan yang mampan dan mewujudkan keadaan yang perlu untuk pembangunan semula Gaza, seterusnya memenuhi aspirasi rakyat Palestin “untuk keamanan, kestabilan dan kehidupan yang bermaruah.”

Jawatankuasa itu merupakan sebahagian daripada pelan yang dicadangkan oleh Trump untuk mentadbir Gaza selepas serangan Israel di wilayah berkenaan yang mengorbankan lebih 71,000 orang dalam tempoh dua tahun. Satu gencatan senjata rapuh berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025.

Utusan AS Steve Witkoff mengumumkan pelancaran fasa kedua pelan itu untuk menamatkan konflik di Gaza, dengan peralihan daripada gencatan senjata kepada penyahtenteraan, tadbir urus teknokrat dan pembangunan semula.

Beliau berkata fasa kedua itu menubuhkan pentadbiran peralihan teknokrat Palestin di Gaza, Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG), serta memulakan proses pembangunan semula Gaza.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan