DUNIA > BERITA

WISMA PUTRA SAHKAN SEORANG RAKYAT MALAYSIA DILAPORKAN HILANG DI JEDDAH

17/01/2026 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Luar mengesahkan bahawa seorang rakyat Malaysia dilaporkan hilang di Jeddah sejak 15 Jan lepas.

Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa sejak laporan diterima, Konsulat Jeneral telah segera melaksanakan tindakan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan, termasuk menggerakkan pegawainya ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz bagi menjalankan usaha pencarian berdasarkan lokasi terakhir individu itu dikesan.

Menurut Wisma Putra, pada 16 Jan, Konsulat Jeneral  telah memudah cara agensi pelancongan Malaysia yang berkaitan dan rakan kongsi tempatannya di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi selaras dengan keperluan peraturan Arab Saudi.

“Sehingga hari ini (Sabtu), Konsulat Jeneral terus  berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyegerakan usaha pencarian selain memberikan bantuan konsular kepada waris, serta sentiasa berhubung rapat dengan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya.

Kementerian itu berkata mana-mana rakyat Malaysia yang ingin memberikan maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi bahagian konsulnya di talian +603-8887 4597atau +603-8887 4769 atau +603-8887 4264 (waktu pejabat) atau  +603 8887 4570 (selepas waktu pejabat) atau melalui e-mel bkrm@kln.gov.my.

Wisma Putra menegaskan bahawa butiran terperinci dan perkembangan berkaitan kes itu hanya akan dikongsi kepada ahli keluarga terdekat demi menghormati privasi pihak-pihak yang terlibat.

Seorang pelakon Malaysia, Nadia Kesuma, yang nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, dilaporkan hilang dan tidak dapat dikesan ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke London pada Khamis.

Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kepada media bahawa pihak Imigresen Arab Saudi mengesahkan pelakon berkenaan telah meninggalkan kawasan lapangan terbang dan beliau diklasifikasikan sebagai orang hilang selepas gagal dikesan lebih 20 jam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan