DUNIA > BERITA

KERAJAAN DALAM FASA AKHIR LAKSANA PROSES EVAKUASI RAKYAT MALAYSIA DARI TIMUR TENGAH - MKN

09/03/2026 07:57 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Kerajaan Malaysia kini berada pada fasa akhir persiapan bagi melaksanakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Timur Tengah susulan perkembangan keselamatan yang kian meruncing di rantau berkenaan. 

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata operasi evakuasi ini  dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua langkah yang perlu digerakkan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.

Ia berkata operasi itu akan diselaras  dengan kerjasama rapat Kementerian Luar melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.

“Kerajaan Malaysia akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan rakyat Malaysia yang terlibat dapat kembali ke tanah air dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata MKN bersama Kementerian Luar juga akan menyalurkan perkembangan operasi ini secara berkala kepada semua pihak sehingga keseluruhan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini selesai.

Ketegangan di Timur Tengah meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Menurut rekod Kementerian Luar, setakat 8 Mac, seramai 641 orang rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa negara terjejas di rantau itu manakala 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar menerusi sistem e-Konsular setakat 7 Mac.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan