MOSCOW, 19 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kesatuan Eropah (EU) mengurangkan pembelian minyak dari Rusia pada November 2025 ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 127.5 juta euro (US$148.2 juta), lapor RIA Novosti yang memetik data Eurostat.
Syarikat Eropah mengurangkan import minyak dari Rusia kira-kira 60 peratus berbanding bulan sebelumnya, kepada 127.469 juta euro. Ini adalah jumlah pembelian bulanan terendah yang pernah direkodkan oleh EU sejak data agensi itu mula tersedia pada 1988.
Selain itu, bagi tempoh Januari hingga November, bekalan minyak Rusia ke EU berjumlah 3.8 bilion euro, menurun daripada 5.8 bilion euro dalam tempoh sama tahun lalu.
Republik Czech mencatatkan pengurangan terbesar dalam pembelian minyak Rusia dalam kalangan negara anggota EU bagi tempoh Januari-November - merosot 78 peratus kepada 288.3 juta euro. Sementara itu, Jerman dan Belanda menghentikan sepenuhnya pembelian minyak Rusia selepas masing-masing membeli minyak bernilai 6.9 juta euro dan 580.8 juta euro dalam tempoh Januari-November 2024.
Slovakia, satu-satunya negara EU yang meningkatkan import minyak Rusia iaitu sebanyak 6.7 peratus kepada 1.9 bilion euro bagi tempoh Januari-November 2025.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial