DUNIA > BERITA

CHINA MOHON TEMPATKAN SEKRETARIAT BBNJ DI XIAMEN

21/01/2026 05:19 PM

BEIJING, 21 Jan (Bernama - CMG) – China telah mengemukakan permohonan untuk menempatkan Sekretariat Perjanjian Pemuliharaan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan Luar Bidang Kuasa Negara (Perjanjian BBNJ) di Xiamen.

Keputusan berkenaan telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada 16 Januari, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.

Perjanjian BBNJ telah berkuat kuasa pada 17 Januari 2026, dengan China dan 81 negara lain serta Kesatuan Eropah (EU) menjadi pihak yang menyertai perjanjian itu.

Guo dalam sidang akhbar pada Selasa berkata, Perjanjian BBNJ merupakan satu pencapaian bersejarah di bawah kerangka PBB. Penguatkuasaannya telah membuka lembaran baharu dalam tadbir urus marin di peringkat global, dan juga menandakan kemenangan multilateralisme. 

Beliau berkata, China sentiasa menjunjung tinggi multilateralisme sebenar dan menyokong sistem antarabangsa yang berpusatkan PBB. 

"China memberi perhatian tinggi terhadap pemuliharaan dan penggunaan laut secara mampan.

Sebagai negara besar yang bertanggungjawab, China secara aktif mengambil bahagian dalam tadbir urus marin global, berinisiatif serta berkemampuan untuk memberi sumbangan lebih besar dalam pelaksanaan Perjanjian BBNJ," kata Guo.

Untuk merealisasikan matlamat dan objektif perjanjian itu, dan memelihara kepentingan bersama masyarakat antarabangsa, China mengeluarkan permohonan untuk menempatkan Sekretariat Perjanjian BBNJ di Xiamen, dan memaklumkan keputusan berkenaan kepada Setiausaha Agung PBB pada 16 Januari.

“Xiamen digelar sebagai ‘bandar taman di laut’ dan merupakan satu pusat kerjasama marin antarabangsa. 

"China bersedia menyediakan persekitaran kerja yang terbaik untuk Sekretariat, dan membantu mewujudkan matlamat dan objektif Perjanjian BBNJ.

"Kami penuh keyakinan bahawa Xiamen ialah bandar paling ideal untuk dijadikan tempat Sekretariat perjanjian itu," kata Guo.

– BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan