DUNIA > BERITA

AS PELOPORI PEMBANGUNAN AI, DIIKUTI EROPAH, CHINA

21/01/2026 04:53 PM

DAVOS (Switzerland), 21 Jan (Bernama-dpa) -- Amerika Syarikat (AS) berada di hadapan dalam perlumbaan membangunkan kecerdasan buatan (AI), diikuti Eropah yang sedikit mendahului China, lapor perunding perniagaan KPMG dalam analisis yang dibentangkan di Davos pada Rabu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Indeks Keupayaan AI Strategik (SACI) disusun KPMG bersama Oxford Economics United Kingdom (UK) berdasarkan maklumat daripada 900 pentabir di seluruh dunia.

Kedudukan AS pada 75.2 pada skala dari sifar hingga 100 susulan syarikat negara itu menggunakan teknologi baharu dengan pantas dan menyeluruh dalam perniagaan harian serta mempunyai akses kepada komputer berkuasa dalam pasaran kewangan yang cekap.

Ia juga meraih keuntungan daripada penyelidikan yang kukuh dan pakar terlatih, membawa penyelesaian AI dari fasa percubaan ke aplikasi dengan pantas.

Eropah mencapai 48.8 berdasarkan industri yang kukuh dan peraturan yang baik untuk teknologi, walaupun kelebihan itu jarang dimanfaatkan secara ekonomi berikutan pengenalan AI dalam perniagaan adalah perlahan, dengan banyak aplikasi tersekat pada peringkat percubaan.

Kos tenaga yang tinggi, kekurangan kuasa pengkomputeran dan pasaran kewangan yang berpecah-belah turut menghalang pelancaran AI secara besar-besaran, menurut tinjauan itu.

UK dan Ireland berada pada kedudukan terbaik, mendapat 69.2 markah manakala Eropah berbahasa Jerman pada 54 dan Eropah Tengah, Timur dan Selatan dengan markah di bawah 30.

China memperoleh 48.2 markah berdasarkan pendaftaran paten AI dan pengawalan komponen komputer penting namun kerjasama dengan negara lain adalah terhad.

Hal itu memperlahankan pertukaran pengetahuan dan menghalang AI daripada digunakan secara yang menguntungkan.

Kajian itu mengesyorkan supaya Eropah meningkatkan autonominya tanpa mengasingkan diri. Proses memberi kebenaran perlu dipercepat dan lebih banyak dana disediakan untuk firma yang sedang berkembang.

(Turut disaran) kuasa pengkomputeran tambahan untuk syarikat baharu dan lebih ramai kakitangan mahir diperlukan termasuk menerusi imigresen.

Selain itu, pergantungan teknikal perlu dikurangkan dan AI perlu diserapkan ke dalam ekonomi dengan lebih cepat, menurut kajian itu.

-- BERNAMA-dpa 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan