BEIJING, 29 Jan (Bernama-CMG) -- Mesyuarat ke-6 Suruhanjaya Kerjasama Perusahaan Inovatif China-Finland diadakan di sini pada Isnin bersempena lawatan Perdana Menteri Finland Petteri Orpo selama empat hari ke China.
Dalam mesyuarat itu, wakil perusahaan dari kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan mendalam mengenai kerjasama dua hala dalam bidang inovasi, pembangunan hijau, transformasi digital dan kesihatan selain memetrai beberapa perjanjian perdagangan.
Naib Pengerusi Lembaga Pengelola KONE Elevators Finland, Jussi Herlin merupakan antara 20 wakil syarikat Finland yang turut serta dalam lawatan Orpo ke China.
Beliau berkata KONE mula melabur di pasaran China kira-kira 30 tahun lalu. China kini merupakan antara pasaran paling penting bagi KONE dan menyumbang sebahagian besar daripada perolehan syarikat itu.
"Pada masa ini, KONE telah membina pangkalan pengeluaran terbesar dan pusat penyelidikan serta pembangunan luar negara terbesarnya di China.
"Oleh itu, China amat penting bagi kami dalam semua aspek dan kami pasti akan terus melabur di sini," kata Herlin.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif syrikat bioperubatan Aurealis Therapeutics Juha Yrjanheikki menyatakan bahawa pihaknya telah meneroka pelbagai bentuk kerjasama di China merangkumi pelaburan ekuiti, perkhidmatan perkilangan dan ujian klinikal.
"Sasaran kami adalah untuk membawa produk kami ke pasaran China," kata Yrjanheikki.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial