DUNIA > BERITA

KEPUTUSAN PAKISTAN PULAU PERLAWANAN MENENTANG INDIA TIDAK UNTUNGKAN SUKAN KRIKET - ICC

02/02/2026 01:24 PM

NEW DELHI, 2 Feb (Bernama) -- Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) pada Ahad menyifatkan keputusan Pakistan untuk memulaukan perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia T20 menentang India di Colombo sebagai sesuatu yang tidak memberikan manfaat kepada sukan kriket.

Kerajaan Pakistan sebelum ini memaklumkan telah memberi kelulusan kepada pasukan kriket kebangsaannya untuk menyertai Piala Dunia T20 Lelaki ICC 2026 yang dianjurkan bersama oleh India dan Sri Lanka bermula dari 7 Feb hingga 8 Mac ini.

Bagaimanapun, pasukan itu "tidak akan turun ke padang bagi perlawanan menentang India yang dijadualkan pada 15 Feb 2026," menurut kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan alasan mengapa Pakistan enggan bermain dalam perlawanan berkenaan.

ICC berkata "pendirian penyertaan terpilih ini sukar untuk diselaraskan dengan premis asas acara sukan global" dan ia "menjejaskan semangat serta kemurniaan pertandingan ini."

Keputusan Pakistan itu dibuat selepas spekulasi berlarutan selama beberapa hari sama ada negara itu akan menarik diri daripada kejohanan berkenaan susulan tindakan ICC menolak permintaan Bangladesh untuk memindahkan lokasi perlawanan pasukannya dari India ke Sri Lanka atas faktor keselamatan.

"Walaupun ICC menghormati peranan kerajaan dalam perkara berkaitan dasar nasional, keputusan ini tidak selari dengan kepentingan sukan global atau kebajikan peminat di seluruh dunia, termasuk jutaan peminat di Pakistan," kata ICC dalam kenyataan itu.

Pakistan, yang akan beraksi dalam perlawanan di Sri Lanka, sebelum ini menyokong pendirian Lembaga Kriket Bangladesh (BCB) dan kebimbangan keselamatan pemain Bangladesh mengenai bermain di India.

Bulan lepas, timbul kekecohan di Bangladesh selepas pemain kebangsaan, Mustafizur Rahman digugurkan secara kontroversi daripada Liga Perdana India (IPL) atas arahan Lembaga Kawalan Kriket di India (BCCI).

Penasihat Luar Kerajaan Sementara Bangladesh, Mohammad Touhid Hossain sebelum ini berkata isu penyertaan Pakistan dalam kejohanan ICC itu adalah urusan dalaman negara berkenaan.

"Pakistan tidak pernah berkata mereka tidak akan bermain (dalam Piala Dunia); mereka berkata mereka akan mempertimbangkannya. Keputusan kami untuk tidak bermain di India adalah keputusan kami sendiri, manakala sama ada Pakistan bermain atau tidak, itu terpulang sepenuhnya kepada mereka," kata Touhid kepada media Bangladesh pada Ahad.

Pengerusi Lembaga Kriket Pakistan (PCB), Mohsin Naqvi, yang juga Menteri Dalam Negeri negara itu, pada 26 Jan lepas telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengenai "perkembangan terkini" berkaitan Piala Dunia T20 ICC dan Bangladesh.

Pakistan dan India tidak pernah mengadakan siri perlawanan dua hala selama lebih 12 tahun dan kini hanya bertanding sesama sendiri dalam acara antarabangsa di gelanggang berkecuali.

BCCI mengikuti panduan Kerajaan India dalam menentukan hubungan kriket dengan negara jirannya itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan