DUNIA > BERITA

KERAJAAN PERANCIS BERDEPAN LAGI UNDI TIDAK PERCAYA

02/02/2026 07:13 PM

PARIS, 2 Feb (Bernama-dpa) -- Kerajaan minoriti pimpinan Perdana Menteri Perancis, Sébastien Lecornu, berdepan dua usul undi tidak percaya pada Isnin selepas beliau cuba mendapatkan kelulusan belanjawan melalui Perhimpunan Kebangsaan tanpa pengundian muktamad, lapor agensi berita  Jerman (dpa).

Ahli Perhimpunan Kebangsaan dijangka memulakan perbahasan pada lewat petang Isnin bagi menentukan sama ada mahu menarik balik kepercayaan terhadap Kabinet berhaluan kiri-tengah itu. Bagaimanapun, kejatuhan kerajaan dijangka tidak berlaku.

Lecornu telah berjaya memperoleh sokongan daripada golongan Sosialis menerusi beberapa konsesi dalam belanjawan berkenaan.

Sekiranya kerajaan berjaya melepasi undi tidak percaya di parlimen, Belanjawan 2026 akan dianggap sebagai diluluskan.

Usul undi tidak percaya itu dikemukakan oleh kumpulan nasionalis sayap kanan pimpinan Marine Le Pen di satu pihak, manakala satu lagi usul daripada gabungan sayap kiri, parti Greens dan Komunis.

Percubaan untuk menjatuhkan kerajaan itu merupakan tindak balas terhadap tindakan Lecornu yang menggunakan peruntukan khas perlembagaan bagi meluluskan belanjawan tahun ini tanpa melalui undian akhir, selepas rundingan untuk mencapai kompromi menemui jalan buntu.

Lecornu dan kerajaannya sebelum ini telah berjaya melepasi empat undi tidak percaya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, yang berkaitan dengan bahagian-bahagian tertentu dalam belanjawan.

Kejayaan Perancis yang kini dibebani hutang yang tinggi untuk akhirnya mempunyai belanjawan selepas tempoh kebuntuan, dijangka disambut baik oleh komuniti perniagaan dan rakan kongsi Kesatuan Eropah (EU) seperti Jerman.

Langkah itu memberikan kejelasan kepada syarikat-syarikat untuk pelaburan dan pengambilan kakitangan, selain membolehkan sektor awam kembali membuat pelaburan.

Prospek Perancis dalam menangani isu hutangnya juga dilihat sebagai isyarat positif kepada EU.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan