DUNIA > BERITA

MESIR MULA TERIMA RAKYAT PALESTIN YANG SAKIT DAN CEDERA DARI GAZA MELALUI SEMPADAN RAFAH

03/02/2026 01:58 PM

KAHERAH, 3 Feb (Bernama-Xinhua) -- Kumpulan pertama rakyat Palestin yang sakit dan cedera menyeberang dari Semenanjung Gaza ke Mesir pada Isnin, menandakan satu langkah penting dalam fasa kedua gencatan senjata Gaza, lapor Xinhua.

Sumber Palestin mengesahkan lima pesakit, diiringi 10 ahli keluarga atau penjaga dibawa dari selatan Gaza ke Mesir untuk menerima rawatan perubatan.

Walaupun perjanjian itu membenarkan pergerakan dua hala, setakat ini belum ada rakyat Palestin yang kembali memasuki wilayah Gaza dari bahagian Mesir.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan konvoi ambulans berwarna kuning membawa pesakit menyeberangi sempadan.

Saluran berita berkaitan Kerajaan Mesir, Al-Qahera News, yang memetik pegawai kerajaan, mengesahkan pemindahan itu dan berkata pihak berkuasa memuktamadkan persiapan logistik bagi memastikan “perjalanan yang lancar.”

Hospital di El Arish, yang terletak di Sinai Utara Mesir diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga yang tinggi, dengan pasukan perubatan, unit rawatan rapi dan bilik pembedahan bersiap sedia untuk menerima pesakit yang dipindahkan.

Pergerakan itu menyusuli pembukaan semula sebahagian pintu sempadan Rafah, satu-satunya pintu keluar Gaza ke dunia luar yang tidak dikawal oleh Israel.

Terminal itu sebahagian besarnya ditutup sejak tentera Israel menguasai bahagian Palestin di sempadan itu pada Mei 2024, satu tindakan yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh 2.3 juta penduduk Gaza.

Pintu sempadan itu dibuka semula secara percubaan pada Ahad sebelum operasi diperluaskan pada Isnin mengikut syarat yang ditetapkan bagi fasa kedua gencatan senjata Gaza yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Di bawah pengaturan semasa, kira-kira 150 rakyat Palestin dibenarkan keluar dari Gaza setiap hari, manakala sehingga 50 rakyat Palestin dibenarkan memasuki wilayah itu dari Mesir.

Pembukaan semula pintu sempadan itu dilihat sebagai petunjuk penting terhadap kestabilan gencatan senjata itu.

Pengantara berharap akses yang diperbaharui ini akan memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan yang lebih meluas serta memberikan kelegaan kepada penduduk selepas lebih 18 bulan hampir terputus hubungan dengan dunia luar.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan