DUNIA > BERITA

NEGARA AFRIKA KETIGA SETUJU TERIMA KEMBALI IMIGRAN SELEPAS AMARAN TAMAT VISA OLEH UK

06/02/2026 11:45 PM

LONDON, 6 Feb (Bernama-PA Media/dpa) -- Sebuah negara Afrika ketiga bersetuju untuk menerima kembali imigran yang memasuki United Kingdom tanpa kebenaran selepas Menteri Dalam Negeri UK Shabana Mahmood, memberi amaran untuk menamatkan visa warganya, lapor PA Media/dpa.

Amaran itu ditujukan kepada Republik Demokratik Congo (DRC) pada akhir Disember tahun lalu kerana kekurangan kerjasama dalam proses penghantaran pulang warga asing yang melakukan kesalahan serta mereka yang tidak mempunyai hak tinggal di UK.

Pada masa yang sama, Mahmood menghentikan layanan istimewa untuk diplomat dan VIP Congo dan menamatkan pemprosesan visa cepat bagi warganya. Jumaat lalu, Pejabat Dalam Negeri UK mengumumkan bahawa DRC kini bersetuju untuk bekerjasama.

Mahmood berkata: “Mesej saya jelas, jika kerajaan asing enggan menerima semula warganya, mereka akan menghadapi akibat.”

DRC merupakan negara ketiga mencapai persetujuan dengan UK selepas diberi amaran dengan penalti visa. Angola dan Namibia sebelum ini bersetuju menerima kembali warganya pada Disember, sebulan selepas Mahmood menyenaraikan mereka mungkin dikenakan penalti.

Pada ketika itu, Pejabat Dalam Negeri menuduh ketiga-tiga negara menghalang usaha untuk menghantar pulang warganya dengan enggan memproses dokumen atau memberi individu terbabit kuasa veto terhadap penghantaran pulang mereka sendiri dengan mewajibkan tandatangan dokumen mereka sendiri.

Ketiga-tiga negara ini hanya membabitkan sebilangan kecil individu yang dikesan memasuki UK melalui laluan tidak rasmi, tetapi Pejabat Dalam Negeri berkata persetujuan ini membolehkan sehingga 3,000 orang di hantar pulang dari negara itu.

Amaran visa oleh Mahmood merupakan sebahagian daripada usaha beliau mempercepat pemulangan individu tanpa hak tinggal di UK, selaras dengan tekanan kerajaan untuk mengurangkan migrasi tidak sah.

Pegawai berkata Mahmood menegaskan negara yang tidak bekerjasama tidak boleh menjangkakan “hubungan visa normal” dengan Britain.

Sebelum ini, Pejabat Dalam Negeri memaklumkan lebih 15,000 orang dihantar pulang sejak pilihan raya 2024, meningkat 45 peratus berbanding 19 bulan sebelumnya, manakala 43,000 lagi meninggalkan UK secara sukarela setelah dimaklumkan mereka berada di negara itu secara tidak sah.

Mahmood berjanji akan memperluas lagi usaha penghantaran pulang migran, berikutan tekanan berterusan terhadap isu imigresen dan bot kecil yang menyeberang ke Selat Inggeris. Sejak pilihan raya 2024, kira-kira 65,000 orang memasuki negara itu melalui bot kecil, termasuk 989 orang setakat tahun ini.

-- BERNAMA–PA Media/dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan