DUNIA > BERITA

PM SINGAPURA UCAP TAHNIAH KEPADA SANAE TAKAICHI ATAS KEMENANGAN BERSEJARAH PILIHAN RAYA JEPUN

09/02/2026 02:32 PM

SINGAPURA, 9 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong hari ini menyampaikan ucapan tahniah kepada rakan sejawatnya dari Jepun, Sanae Takaichi, susulan kemenangan bersejarahnya dalam pilihan raya umum negara itu pada Ahad.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Wong menyatakan bahawa mandat baharu tersebut mencerminkan keyakinan teguh rakyat Jepun terhadap kepimpinan Takaichi.

"Ucapan tahniah setinggi-tingginya kepada Takaichi Sanae atas pelantikan semula beliau," katanya.

Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa Singapura dan Jepun berkongsi hubungan yang lama, substantif dan merangkumi pelbagai aspek.

"Tahun ini kita menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik. Saya berharap dapat bekerjasama dengan PM Takaichi untuk terus memperkukuh kerjasama kita," tambahnya.

Menurut Agensi Berita Kyodo, Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun, yang membentuk gabungan bersama Parti Inovasi Jepun, berjaya memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pada Ahad, sekali gus mencatatkan kemenangan besar.

Dengan melepasi ambang dua pertiga iaitu 310 kerusi daripada 465 ahli dewan rendah, LDP menjadi parti pertama dalam sejarah pascaperang Jepun yang mencapai pencapaian itu. Ini membolehkan parti tersebut mengusahakan pindaan perlembagaan dan meluluskan undang-undang walaupun rang undang-undang berkenaan ditolak oleh Dewan Kaunselor, yang gabungan pemerintah kekal sebagai minoriti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan