KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Penilaian risiko dan keselamatan secara menyeluruh terhadap sistem mekanikal dan elektrikal di kampus utama HELP University di Subang Bestari dan Bukit Damansara mendapati penyelenggaraan dilaksanakan dengan baik dan selamat untuk diduduki serta digunakan semula.
Dalam kenyataan hari ini, HELP University memaklumkan perkara tersebut disahkan hasil audit yang diselesaikan oleh firma perunding kejuruteraan yang dilantik iaitu CHT International, susulan insiden letupan gas penyaman udara di universiti itu pada 12 Jan lepas.
Bagi memperkukuh lagi tahap keselamatan kampus, HELP University akan menubuhkan sebuah Lembaga Penasihat Keselamatan bebas yang dianggotai oleh profesional dan pakar keselamatan berpengalaman.
"Lembaga ini akan meneliti dapatan dan cadangan hasil siasatan pihak berkuasa, Perkhidmatan Forensik Malaysia serta CHT International seterusnya memberikan panduan bagi memperkukuh rangka kerja keselamatan HELP University melalui langkah praktikal yang sesuai dengan persekitaran pendidikan," menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, HELP University masih menunggu laporan siasatan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Perkhidmatan Forensik Malaysia berhubung punca letupan bilik pemampat yang berlaku pada 12 Jan lepas.
Selain itu, pihak universiti turut bekerjasama rapat dengan pemilik bangunan Amanahraya REIT serta pengurusan bangunan Knight Frank bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
"HELP University akan terus meletakkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti kampus sebagai teras dalam operasinya, berpandukan nasihat pakar dan pemantauan kawal selia bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif buat semua," menurut kenyataan itu.
Kejadian pada 12 Jan lepas di Bukit Damansara itu meragut nyawa seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun iaitu pelajar praktikal tahun tiga Kursus Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan mencederakan sembilan individu, termasuk empat pelajar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial