DUNIA > BERITA

PARTI PEMERINTAH JEPUN LDP MENANG MAJORITI DUA PERTIGA DEWAN RAKYAT DI BAWAH PM TAKAICHI

10/02/2026 12:10 AM

TOKYO, 9 Feb (Bernama-Kyodo) -- Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah Jepun memenangi lebih dua pertiga majoriti dalam pilihan raya Dewan Perwakilan pada Ahad, mencatatkan kemenangan besar bersejarah yang akan memberikan lonjakan hebat kepada Perdana Menteri Sanae Takaichi dalam memacu agenda dasar konservatif beliau.

Menurut Agensi Berita Kyodo, lonjakan ketara jumlah kerusi daripada 198 sebelum pilihan raya kepada 315 itu dipercayai hasil populariti peribadi Takaichi, sekali gus mengukuhkan kedudukan beliau untuk kekal memegang jawatan selepas mengambil alih pentadbiran Oktober lepas.

LDP bersama rakan gabungannya, Parti Inovasi Jepun (JIP), kini menguasai dewan yang mempunyai 465 ahli itu dengan gabungan keseluruhan 351 kerusi.

Sementara itu, pilihan raya berkenaan memberikan tamparan hebat kepada pakatan pembangkang utama yang baru ditubuhkan, Centrist Reform Alliance (CRA), apabila kerusi mereka merosot daripada 167 kepada 49. Perkembangan itu memaksa pemimpin bersamanya, Yoshihiko Noda dan Tetsuo Saito, menyatakan hasrat untuk meletak jawatan dalam satu sidang media bersama pada Isnin.

Noda, yang juga seorang bekas perdana menteri, berkata beliau akan "bertanggungjawab atas kekalahan bersejarah ini" dan kepimpinan baharu parti akan diputuskan menjelang 18 Feb, iaitu tarikh kerajaan dan parti pemerintah mempertimbangkan untuk mengadakan sidang khas parlimen.

Kejayaan melepasi ambang majoriti dua pertiga (310 kerusi) di dewan rakyat bermakna LDP - parti pertama yang mencapai kejayaan itu di Jepun pada era pasca perang - boleh bergerak ke arah meminda Perlembagaan dan meluluskan rang undang-undang walaupun ditolak oleh Dewan Kaunselor , yang mana gabungan pemerintah kekal sebagai minoriti.

Di tengah-tengah inflasi yang berpanjangan dan persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar, Takaichi berikrar untuk meneruskan dasar fiskal yang "bertanggungjawab namun agresif" serta meningkatkan keupayaan pertahanan negara.

“Kami memikul tanggungjawab yang amat berat untuk difokuskan dalam menunaikan janji-janji kempen yang telah kami buat secara konsisten,” kata Takaichi dalam satu program televisyen pada Ahad selepas kemenangan LDP dilaporkan.

Beliau turut memberi isyarat dalam program berasingan bahawa beliau akan mengekalkan status quo tanpa melakukan rombakan besar terhadap barisan Kabinet, yang menerima sokongan awam yang agak kuat sejak penubuhannya kurang empat bulan lepas.

Bagaimanapun, beliau berharap JIP, yang sebelum ini memutuskan untuk tidak mengambil jawatan menteri semasa pembentukan gabungan pada Oktober — dipercayai mencerminkan sikap berhati-hati terhadap LDP — akan memenuhi “tanggungjawabnya bersama-sama dalam Kabinet”.

JIP, juga dikenali sebagai Nippon Ishin, dilihat kurang momentum berbanding sekutu kanannya, walaupun berjaya menambah dua kerusi berbanding 34 kerusi sebelum pilihan raya. LDP dan JIP tidak menyelaraskan calon mereka dalam pilihan raya kali ini.

“Ia adalah pilihan raya di mana kami merasai tekanan daripada LDP,” kata pemimpin JIP Hirofumi Yoshimura dalam sidang media di wilayah asalnya, Osaka di barat Jepun, sambil menambah bahawa parti itu telah berusaha meyakinkan pengundi tentang peranan pentingnya dalam gabungan itu sepanjang kempen berlangsung.

Parti Sanseito, sebuah kumpulan populis yang terkenal dengan slogan “Utamakan Jepun”, memenangi 15 kerusi berbanding dua kerusi sebelum ini, manakala Team Mirai, yang memperjuangkan penggunaan teknologi digital untuk meningkatkan penyertaan politik, memperoleh 11 kerusi pertama mereka di Dewan Perwakilan.

Peratusan keluar mengundi mencatatkan 56.26 peratus bagi kawasan parlimen dan 56.25 peratus bagi bahagian perwakilan berkadar, berbanding masing-masing 53.85 peratus dan 53.84 peratus pada pilihan raya sebelumnya, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Undian awal turut mencatatkan peningkatan dengan rekod 27.02 juta orang membuang undi lebih awal, meningkat kira-kira enam juta daripada Pilihan Raya Dewan Perwakilan pada 2024.

Memandangkan isi rumah biasa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, parti-parti politik utama berjanji untuk mengurangkan beban cukai semasa kempen.

Takaichi berkata semasa penampilannya dalam televisyen bahawa kerajaan pimpinan beliau akan mempercepat perbincangan mengenai rancangan penggantungan dua tahun cukai penggunaan lapan peratus ke atas makanan, yang merupakan antara janji kempen parti itu.

Di bawah Takaichi, dikenali sebagai seorang tokoh yang tegas dalam isu keselamatan, parti pemerintah juga memohon sokongan untuk memperkukuh pertahanan negara memandangkan persekitaran keselamatan yang semakin mencabar.

Penubuhan saat akhir  Centrist Reform Alliance , yang menyatukan Ahli Dewan Perwakilan daripada Parti Demokratik Perlembagaan Jepun dan Parti Komeito, dilihat memakan diri di tengah-tengah kritikan bahawa penggabungan itu hanya didorong oleh kepentingan pilihan raya.

Komeito, yang disokong oleh organisasi Buddha awam terbesar Jepun, Soka Gakkai, telah menjadi sekutu LDP selama 26 tahun dan merupakan sumber utama sokongan kempen bagi gabungan itu sebelum kedua-dua pihak berpecah pada Oktober lepas.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan