SINGAPURA, 11 Feb (Bernama) -- Singapura melaporkan sekurang-kurangnya 10 kes penipuan melibatkan penduduk negara itu yang melakukan perjalanan ke Malaysia, dengan mangsa mengalami kerugian kira-kira S$24,000 selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya dihantar oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menurut media tempatan.
Mangsa menerima teks pesanan yang memaparkan nama pengirim “LTA”, meminta mereka menjelaskan bayaran tol yang tertunggak, bersama satu pautan yang mengarahkan mereka ke laman sesawang memancing data (phishing) untuk mendapatkan butiran perbankan bagi tujuan pembayaran, lapor Straits Times.
Menurut polis, ID LTA telah dinyahaktifkan pada Julai 2024 dan tidak lagi digunakan, dan sebarang teks pesanan daripada ID berkenaan adalah palsu.
Sementara itu, LTA dalam satu hantaran Facebook pada Selasa memberi amaran kepada orang ramai bahawa penipu menyamar sebagai agensi berkenaan untuk memperdaya mangsa supaya membayar tol yang tidak dijelaskan atau denda melalui pautan palsu.
“Mesej ini direka untuk mencuri butiran perbankan/kad kredit/kad debit serta wang anda.
“SMS rasmi LTA tidak mengandungi pautan pembayaran dan hanya dihantar melalui ID pengirim rasmi “gov.sg.” ID pengirim LTA tidak lagi digunakan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial