TOKYO, 13 Feb (Bernama-Kyodo) -- Parlimen Jepun akan mengadakan sesi undian pada Rabu ini bagi memilih perdana menteri seterusnya, dengan penyandang jawatan itu, Sanae Takaichi hampir pasti akan menang apabila sidang khas Diet selama 150 hari bermula pada hari yang sama, lapor Agensi Berita Kyodo.
Jadual itu, yang diluluskan dalam keputusan Kabinet pada Jumaat, menyusul selepas kerajaan pimpinan Takaichi yang baru berusia beberapa bulan kini mempunyai kedudukan lebih kukuh di Dewan Perwakilan selepas parti pimpinannya, Parti Liberal Demokratik (LDP), mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya dewan rendah pada 8 Feb lepas.
Perdana Menteri dijangka melancarkan Kabinet kedua beliau sejurus selepas undian berkenaan selesai.
Sidang khas itu pada peringkat awal berkemungkinan besar akan memberi tumpuan kepada tempoh masa enakmen belanjawan awal bagi tahun fiskal 2026, yang sebelum ini dijangka diluluskan pada akhir Mac sebelum bermulanya tahun fiskal pada April, sebelum pilihan raya awal diumumkan.
Ucapan oleh Perdana Menteri dan tiga menteri kanan lain dijadualkan berlangsung pada Jumaat depan.
Kelulusan Kabinet terhadap jadual itu dibuat selepas ia dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan kepada parti pemerintah dan pembangkang pada awal hari ini.
Sidang khas itu dijangka berlangsung sekurang-kurangnya sehingga 17 Julai, menyamai tempoh sidang biasa Diet yang telah dibubarkan pada hari pembukaannya pada Januari lepas bagi memberi laluan kepada pilihan raya.
Dalam pilihan raya berkenaan, LDP dan rakan gabungan juniornya, Parti Inovasi Jepun, memenangi 352 kerusi, iaitu lebih dua pertiga daripada dewan rakyat yang berpengaruh, meningkat daripada majoriti tipis yang dipegang oleh gabungan itu sebelum pilihan raya berlangsung.
Takaichi telah memberi isyarat bahawa beliau berhasrat untuk terus memohon kerjasama daripada parti pembangkang memandangkan gabungan pemerintah masih merupakan kumpulan minoriti dalam Dewan Kaunselor yang mempunyai 248 kerusi.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial