DUNIA > BERITA

LOJI NUKLEAR TEPCO BEKALKAN ELEKTRIK BUAT KALI PERTAMA DALAM 14 TAHUN

16/02/2026 11:13 PM

TOKYO, 16 Feb (Bernama-Kyodo) -- Sebuah reaktor di loji kuasa nuklear Kashiwazaki-Kariwa memulakan penjanaan dan penghantaran tenaga elektrik secara percubaan pada Isnin ketika Tokyo Electric Power Company Holdings Inc. (TEPCO) bersiap sedia menyambung semula bekalan tenaga nuklear buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun, lapor Kyodo News.

TEPCO yang masih bergelut dengan kesan kemalangan nuklear Fukushima pada 2011 merancang memulakan penghantaran elektrik sepenuhnya dari Unit No. 6 di loji tujuh reaktor di Wilayah Niigata itu pada 18 Mac ini. Kompleks itu terletak kira-kira 220 kilometer di barat laut Tokyo.

Reaktor No. 6 pada akhir Januari menjadi reaktor pertama TEPCO yang diaktifkan semula sejak kejadian leburan teras di kompleks nuklear Fukushima Daiichi susulan gempa bumi besar dan tsunami pada 11 Mac 2011. Unit itu akan membekalkan elektrik ke Tokyo dan kawasan sekitarnya.

TEPCO memulakan operasi turbin yang digerakkan oleh wap yang dihasilkan daripada haba reaktor pada 7.10 malam Ahad dan mengesahkan tiada sebarang keabnormalan. Ia kemudian mula menyalurkan elektrik pada 2.55 pagi Isnin.

Kali terakhir elektrik dihantar dari Unit No. 6 ialah pada akhir Mac 2012 sebelum ia ditutup bagi pemeriksaan berkala.

Sementara itu, sebuah lagi reaktor di loji kuasa nuklear itu juga dijangka diaktifkan semula selepas kelulusan diperoleh daripada badan pemantau nuklear Jepun.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan