DUNIA > BERITA

HAKIM PERSEKUTUAN TOLAK PENGUSIRAN PANTAS MIGRAN KE NEGARA KETIGA

26/02/2026 06:16 PM

HOUSTON (Amerika Syarikat), 26 Feb (Bernama-Anadolu) -- Seorang hakim persekutuan di Boston, Massachusetts pada Rabu menolak permohonan pentadbiran Trump untuk menarik balik sekatan terhadap dasar Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang melaksanakan pengusiran pantas migran ke negara ketiga, atau tempat yang bukan negara asal mereka, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Ia tidak wajar dan juga tidak sah di sisi undang-undang,” tulis Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS) Brian Murphy dalam keputusannya.

Murphy menjelaskan bahawa Kongres AS telah menetapkan “dasar Amerika Syarikat untuk tidak mengusir, mengekstradisi atau melaksanakan penghantaran pulang secara paksa mana-mana individu ke sesebuah negara” yang boleh menyebabkan individu itu berdepan risiko diseksa dan kerajaan “tidak boleh menghantar” seseorang ke negara yang mengancam nyawa atau kebebasan mereka.

Beliau menambah bahawa mana-mana individu yang berdepan pengusiran dari Amerika Syarikat berhak mendapat proses undang-undang yang sewajarnya, termasuk diwakili peguam dan akses kepada pendengaran mahkamah.

“Ini adalah undang-undang kita, dan dengan rasa syukur yang mendalam kerana dilahirkan di Amerika Syarikat, mahkamah ini menegaskan perkara ini dan prinsip asas negara bahawa tiada “individu” di negara ini boleh “dinafikan hak terhadap nyawa, kebebasan atau harta tanpa proses sewajarnya di sisi undang-undang”.

“Sejak awal, dasar pengusiran ke negara ketiga oleh DHS menyasarkan individu-individu ini, yang kebanyakannya mempunyai ciri peribadi yang menjadikan mereka sasaran penganiayaan dan penindasan di seluruh dunia,” katanya sambil menyebut faktor seperti “kaum, agama, kewarganegaraan, keanggotaan dalam kumpulan sosial tertentu atau pandangan politik” yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko penyeksaan,” kata Murphy.

Keputusan itu berpunca daripada saman tindakan satu pihak yang difailkan pada Mac tahun lepas oleh empat migran terhadap prosedur baharu DHS bagi pengusiran pantas, dan dalam beberapa kes serta-merta, ke negara seperti El Salvador, Libya dan Sudan Selatan yang boleh menyebabkan mereka berdepan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penyeksaan.

Hakim itu memberikan tempoh penangguhan sementara selama 15 hari kepada DHS, yang membolehkan kerajaan persekutuan memfailkan rayuan.

Pentadbiran Trump menyatakan ia menjangkakan kes itu dibawa ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat untuk keputusan muktamad.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan