DUNIA > BERITA

2025: TAHUN PALING RAMAI WARTAWAN, PETUGAS MEDIA MAUT- NGO

26/02/2026 06:25 PM

NEW YORK, 26 Feb (Bernama-dpa) -- Lebih banyak wartawan dan petugas media terbunuh pada 2025 berbanding tempoh lebih tiga dekad, kata Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan (CPJ) pada Rabu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Sebanyak 129 kematian sedemikian direkodkan, menurut CPJ.

Menurut maklumat yang diberikan, kebanyakan kematian boleh dikaitkan dengan Israel.

“Israel bertanggungjawab atas dua pertiga daripada kesemua pembunuhan wartawan pada 2025 dan 2024," menurut laporan itu dalam dapatan utamanya.

“Lebih 60 peratus daripada 86 petugas media yang terbunuh akibat tembakan Israel pada 2025 ialah rakyat Palestin yang melaporkan berita dari Gaza."

Di tempat kedua secara keseluruhan, Sudan dengan sembilan kakitangan media terbunuh.

Dalam konteks perang Ukraine, empat kematian direkodkan tahun lepas.

Organisasi itu turut mengkritik "budaya pengecualian daripada dikenakan hukuman (impunity) berterusan untuk serangan terhadap media."

CPJ mengklasifikasikan 47 daripada 129 kes sebagai contoh wartawan dibunuh kerana kerja mereka. Israel dikatakan bertanggungjawab untuk 81 peratus daripada kematian ini.

“Sangat sedikit penyiasatan telus dijalankan terhadap 47 kes pembunuhan yang disasarkan - yang didokumenkan oleh CPJ pada 2025 - jumlah tertinggi wartawan yang dibunuh dengan sengaja kerana kerja mereka dalam sedekad yang lepas - dan tiada sesiapa yang dipertanggungjawabkan dalam mana-mana kes itu," menurut CPJ.

Semenanjung Gaza kini dianggap sebagai lokasi paling berbahaya di dunia untuk wartawan.

Israel telah berulang kali menuduh wartawan di Semenanjung Gaza dikerahkan oleh Hamas.

CPJ memaklumkan pihaknya telah mendokumentasikan kes wakil media yang terbunuh sejak 1992.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan