DUNIA > BERITA

115,000 WARGA AUSTRALIA TERKANDAS DI TIMUR TENGAH - MENTERI LUAR

02/03/2026 02:27 PM

CANBERRA, 2 Mac (Bernama-Xinhua) -- Menteri Luar Australia berkata pada Isnin bahawa dianggarkan 115,000 rakyat negara itu, kini berada di Timur Tengah selepas penerbangan masuk dan keluar dari rantau berkenaan dibatalkan susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, lapor Xinhua.

Penny Wong memberitahu televisyen Australian Broadcasting Corporation bahawa kerajaan persekutuan sedang menunggu perkembangan mengenai penyambungan semula penerbangan komersial melalui Timur Tengah sebelum membuat keputusan mengenai penerbangan pulang untuk warganegara yang terkandas.

Penny Wong memberitahu televisyen Australian Broadcasting Corporation bahawa kerajaan persekutuan sedang menunggu maklumat terkini mengenai penyambungan semula penerbangan komersial melalui Timur Tengah sebelum memberi komitmen untuk penerbangan pulang bagi rakyat yang terkandas.

“Memandangkan bilangan orang di rantau ini, mereka akan pulang dengan lebih cepat jika kita dapat memudahkan mereka menaiki penerbangan komersial pada masa ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lebih awal pada Isnin, Wong berkata kerajaan kini menasihati warganegara Australia supaya tidak melakukan perjalanan ke Bahrain, Iran, Iraq, Israel, Kuwait, Lubnan, Palestin, Qatar, Syria, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman.

Selain itu, beliau berkata warganegara Australia perlu menilai semula keperluan untuk melakukan perjalanan ke Jordan, Oman dan Arab Saudi.

Warga Australia yang sudah berada di Timur Tengah dinasihati oleh kerajaan supaya memantau perkembangan dan media tempatan dengan teliti, mengesahkan rancangan secara terus dengan syarikat penerbangan atau ejen pelancongan, menyemak insurans perjalanan, dan mengikuti Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) untuk makluman terkini.

Wong berkata DFAT telah mengaktifkan Pusat Krisisnya untuk menyediakan sokongan konsular kepada rakyat Australia di Timur Tengah.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Richard Marles berkata kerajaan telah mengambil langkah untuk melindungi keselamatan kira-kira 100 anggota tentera yang kini berpangkalan di rantau itu.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan