DUNIA > BERITA

KELUARGA TINGGALKAN PINGGIRAN BEIRUT, LUBNAN KETIKA SERANGAN SEMAKIN MEMUNCAK

02/03/2026 10:05 PM

BEIRUT, 2 Mac (Bernama-dpa) -- Kereta yang sarat dengan tilam, kanak-kanak dan barangan yang dikumpulkan secara tergesa-gesa memenuhi jalan keluar dari kawasan pinggiran selatan Beirut pada Isnin, ketika ribuan keluarga melarikan diri susulan serangan Israel pada waktu malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bunyi deruman enjin menggantikan dentuman letupan.

Di sepanjang jalan pesisir pantai keluar dari Beirut, kesesakan lalu lintas teruk berlarutan sejauh beberapa kilometer, hon kenderaan berbunyi tanpa henti ketika keluarga terperangkap di dalam kereta masing-masing, manakala sebahagian yang lain keluar berjalan di tepi pantai atau menunggu dengan cemas pembukaan pusat perlindungan tambahan.

Kebimbangan meningkat di Lubnan selepas Israel memperluaskan serangannya selain Iran dengan menyasarkan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran, termasuk di Beirut, susulan serangan peluru berpandu rentas sempadan ke Israel.

“Kami keluar demi anak-anak. Mereka sangat takut dengan bunyi itu,” kata seorang ibu dengan suara bergetar ketika berdiri di sisi kereta yang dipenuhi selimut dan beg plastik berhampiran pinggir selatan bandar itu.

Seorang lagi penduduk berkata beliau berharap Israel “kali ini membezakan antara Hizbullah dan orang awam,” mencerminkan kebimbangan yang peningkatan terbaharu ini boleh mengorbankan lebih ramai penduduk biasa.

Beberapa sekolah awam di Beirut dijadikan pusat perlindungan kecemasan susulan amaran pemindahan yang dikeluarkan tentera Israel.

Hospital pula bersiap sedia menghadapi kemungkinan terburuk.

Di bandar selatan Tyre, Ketua Hospital Hiram Salman Eidibi berkata kakitangan perubatan berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kecemasan.

Hospital lain di Beirut dan pinggirannya turut mengarahkan kakitangan bersiap siaga.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan