DUNIA > BERITA

AS GESA RAKYAT TINGGALKAN TIMUR TENGAH SUSULAN "RISIKO KESELAMATAN SERIUS"

03/03/2026 09:21 AM

WASHINGTON, 3 Mac (Bernama-Anadolu) -- Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menggesa rakyatnya supaya meninggalkan beberapa negara dan wilayah di seluruh Timur Tengah berikutan “risiko keselamatan serius”, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kemas kini keselamatan yang dikeluarkan pada Isnin, jabatan itu menyenaraikan Bahrain, Mesir, Iran, Iraq, Israel, Tebing Barat yang diduduki dan Gaza, Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Qatar, Arab Saudi, Syria, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman sebagai lokasi terjejas.

Menerusi hantaran di platform X, Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Konsular Mora Namdar menggesa rakyat Amerika supaya “BERANGKAT SEKARANG” dari lokasi yang disenaraikan dengan menggunakan pengangkutan komersial yang tersedia.

Sejak Sabtu pagi, Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai keselamatan kanan.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta aset AS di rantau itu, sekali gus mendorong beberapa negara Teluk menutup ruang udara masing-masing.

Terdahulu, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan bahawa enam anggota perkhidmatan AS terbunuh setakat hari ketiga serangan ketenteraan bersama AS-Israel.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan