KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia dinasihati menangguhkan perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memandangkan nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar masih berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
Menurut Wisma Putra, ia terus memantau dengan teliti ketidaktentuan situasi keselamatan dan perjalanan di seluruh Timur Tengah serta terus berkoordinasi rapat dengan perwakilan diplomatik Malaysia di wilayah terjejas.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan kementerian,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurut Wisma Putra, ia mengambil maklum pengumuman pihak berkuasa UAE mengenai pembukaan ruang udara selamat yang ditetapkan serta perkhidmatan pergi dan balik sementara Malaysia Aviation Group (MAG) ke dan dari Jeddah serta Madinah pada 4 hingga 8 Mac.
Pasukan misi diplomatik Malaysia kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa dan rakan kongsi operasi berkaitan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan perjalanan berterusan.
Di UAE, Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral di Dubai terus berhubung dengan rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan penerbangan, terutamanya mereka yang menunggu perjalanan seterusnya.
“Susulan pengumuman mengenai ruang udara selamat, pasukan kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan pihak berkepentingan operasi untuk mendapatkan penjelasan tentang butiran pelaksanaannya dan memudah cara aturan perjalanan seterusnya mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.
Pegawai (kementerian) terus meneliti kebajikan dan keperluan warga terlibat dengan keutamaan pada mereka yang terpaksa melanjutkan transit atau berdepan masalah penginapan.
Di Arab Saudi, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah terus memantau situasi melibatkan jemaah umrah Malaysia yang terlibat dalam gangguan perjalanan.
“Pegawai terus berhubung dengan pihak berkepentingan berkaitan untuk membantu urusan kebajikan di samping mengumumkan pengoperasian semula secara beransur-ansur penerbangan komersial di Jeddah dan Madinah,” tambahnya.
Wisma Putra memaklumkan misi diplomatik Malaysia di Oman, Qatar dan Bahrain terus memantau dan membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan ruang udara serantau, termasuk mereka yang sedang dalam transit atau menunggu perjalanan diatur semula.
Di seluruh negara lain yang terjejas, termasuk Iran, Iraq, Lubnan, Jordan dan Syria, misi diplomatik Malaysia kekal berhubung dengan rakyat Malaysia yang berdaftar, termasuk pelajar.
“Rakyat Malaysia yang berkomunikasi dengan misi kami selamat dan telah dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti panduan pihak berkuasa tempatan,” tambahnya.
Menurut Wisma Putra, kementerian terus mengemas kini rekod rakyat Malaysia di wilayah terjejas menerusi sistem e-Konsular dan sedang berkoordinasi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memantau kebajikan pelajar Malaysia.
Rakyat Malaysia yang belum berbuat demikian digalakkan mendaftar keberadaan mereka melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan konsular digalakkan untuk menghubungi perwakilan diplomatik Malaysia berdekatan manakala Bilik Gerakan kementerian di Putrajaya yang beroperasi 24 jam dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial