DUNIA > BERITA

AS KARAMKAN KAPAL IRAN, INDIA DAN SRI LANKA TERKEJUT

05/03/2026 10:49 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 5 Mac (Bernama) -- Sekumpulan kelasi Iran yang menyertai acara tentera laut pelbagai negara di India bulan lepas, dilaporkan terkorban selepas kapal mereka dikaramkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS).

Insiden membabitkan kapal tentera laut Iran, IRIS Dena di perairan antarabangsa, kira-kira 40 kilometer dari Pantai Galle di Sri Lanka pada Rabu, telah mengejutkan pelbagai pihak.

Rakyat India menyuarakan rasa kesal memandangkan 180 kelasi Iran terbabit merupakan tetamu jemputan negara itu bagi menyertai "Review" Armada Antarabangsa (IFR) dan Latihan Milan-2026 di Visakhapatnam. Sementara itu, Sri Lanka pula menyatakan rasa tidak selesa memandangkan insiden itu berlaku terlalu hampir dengan pantainya.

Menerusi hantaran di media sosial pada 17 Feb, Markas Tentera Laut Timur India menyifatkan kehadiran IRIS Dena dalam latihan itu sebagai cerminan kepada "hubungan budaya yang lama terjalin antara kedua-dua negara." Panglima Tentera Laut India, Laksamana Dinesh K. Tripathi turut mengadakan pertemuan dengan Komander Tentera Laut Iran, Laksamana Shahram Irani semasa acara berkenaan.

Amerika Syarikat merupakan antara negara yang menghantar kapal, pesawat, dan pemerhati untuk menyertai latihan tentera laut itu yang berlangsung dari 15 hingga 25 Feb.

Kapal Iran berkenaan dilaporkan dalam pelayaran pulang selepas tamat latihan sebelum diserang dengan torpedo oleh sebuah kapal selam AS di Lautan Hindi.

Sri Lanka telah menghantar pesawat dan kapal bagi misi menyelamat sejurus menerima isyarat kecemasan daripada kapal Iran itu.

Komander Buddhika Sampath memberitahu media bahawa ketika pasukan penyelamat tentera laut Sri Lanka tiba di lokasi, mereka tidak menemukan  kapal berkenaan dan "hanya terdapat kesan tumpahan minyak serta rakit penyelamat."

Memetik laporan pegawai Sri Lanka, sekurang-kurangnya 87 mayat telah ditemukan, 32 anggota berjaya diselamatkan, manakala puluhan lagi masih hilang.

Rakyat India di media sosial menekankan bahawa kapal Iran terbabit adalah "tetamu" dan telah diberikan upacara penghantaran pulang secara rasmi.

"Satu penghinaan besar buat India apabila AS menenggelamkan kapal IRIS Dena milik Iran di pinggir perairan India berhampiran Sri Lanka," kata jurucakap Parti Kongres, Supriya Shrinate di platform X.

Beberapa penganalisis turut membangkitkan kebimbangan keselamatan mengenai pengoperasian kapal selam AS yang terlalu dekat dengan perairan India.

Setiausaha Perang AS Pete Hegseth, dalam satu taklimat media mengenai serangan berterusan AS-Israel terhadap Iran pada Rabu, mengesahkan insiden itu tanpa sebarang permohonan maaf.

Beliau berkata kapal itu diserang dengan torpedo yang dipanggil "Quiet Death" dan ia merupakan "kejadian pertama kapal musuh dikaramkan oleh torpedo" oleh AS sejak Perang Dunia Kedua.

Tindakan itu turut dikritik kerana kapal berkenaan sedang melalui kawasan yang "bukan zon perang aktif dan jelas berada dalam kawasan pengaruh India," kata pensyarah Universiti Yale, Sushant Singh menerusi hantaran di X.

Dalam pada itu, rakyat Sri Lanka memuji operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh tentera laut mereka.

"Bangga dengan Tentera Laut Sri Lanka yang bertindak pantas menjawab panggilan kecemasan kapal Iran dan menyelamatkan seberapa ramai tentera Iran yang mungkin," kata Editor Daily Mirror, Jamila Husain di X.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan