DUNIA > BERITA

KONFLIK AS-IRAN SEMAKIN MERUNCING, IMPAK DIPLOMATIK DAN KEMANUSIAAN MENINGKAT

05/03/2026 10:18 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Ketegangan global susulan konflik yang semakin meruncing melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran semakin mendalam apabila operasi ketenteraan dipergiat, ketegangan diplomatik meluas serta kebimbangan kemanusiaan meningkat di beberapa rantau.

Pada Rabu, Senat AS menolak usaha yang disokong Parti Demokrat untuk memaksa Presiden Donald Trump menghentikan serangan ketenteraan terhadap Iran tanpa kebenaran Kongres, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menerusi undian 47–53, senator gagal meneruskan Resolusi Kuasa Perang Iran selepas mengundi menentang usul untuk mengeluarkan langkah itu daripada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Rumah Putih menyatakan bahawa pengerahan tentera AS ke Iran buat masa ini bukan sebahagian daripada strategi ketenteraan pentadbiran Trump, walaupun pegawai tidak menolak kemungkinan perubahan pada masa hadapan, lapor AA.

“Buat masa ini ia bukan sebahagian daripada rancangan bagi operasi ini,” kata jurucakap Karoline Leavitt kepada pemberita.

Kenyataan itu dibuat ketika serangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb lepas dilaporkan mengorbankan Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan keselamatan.

Iran sejak itu bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta kemudahan berkaitan AS di negara Teluk.

Presiden Trump mempertahankan operasi itu dengan berkata serangan berkenaan perlu bagi menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear.

“Jika kami tidak melancarkan serangan dalam tempoh dua minggu, mereka akan memiliki senjata nuklear,” katanya ketika berucap di Rumah Putih.

Ketegangan ketenteraan turut meningkat di laut selepas kapal tentera laut Iran IRIS Dena diserang torpedo yang dilancarkan oleh sebuah kapal selam AS di perairan antarabangsa kira-kira 40 kilometer dari pantai Galle, Sri Lanka, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Frigat itu, yang baru-baru ini menyertai latihan tentera laut pelbagai negara Milan 2026 serta perarakan armada di India, membawa kira-kira 130 kelasi.

Sekurang-kurangnya 87 mayat ditemukan manakala 32 anggota berjaya diselamatkan, dengan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, menurut laporan yang memetik pegawai Sri Lanka.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengecam peluru berpandu balistik Iran yang memasuki ruang udara Turkiye sebelum dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu NATO, manakala Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa permusuhan yang semakin meningkat mengganggu operasi kemanusiaan di seluruh Timur Tengah, menurut laporan Xinhua.

Bagaimanapun pada Khamis, Iran menolak tuduhan bahawa ia melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Turkiye yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pegawai Turus Angkatan Tentera Iran menyatakan  laporan Turkiye mengenai peluru berpandu yang dilepaskan ke arah wilayahnya adalah palsu dan "ditolak sekeras-kerasnya".

Menurut kenyataan itu, angkatan tentera Iran menghormati kedaulatan negara jiran dan sahabat, Turkiye.

Di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada konflik di Timur Tengah serta penderitaan berpanjangan di Palestin terutama Gaza dengan terus memperkukuh semangat perpaduan dan kesatuan dalam negara dengan berkata: “Isu ini bukan soal menyebelahi mana-mana kuasa besar semata-mata tetapi soal mempertahankan prinsip, keadilan dan kedaulatan..”

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan