JAKARTA, 6 Mac (Bernama) -- Indonesia bakal menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bermula 28 Mac ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Meutya Hafid.
Beliau berkata kerajaan telah mengeluarkan peraturan menteri selaras dengan Peraturan Kerajaan (PP) TUNAS, atau Tatakelola untuk Anak Aman dan Sihat Digital, yang mengawal selia pengendali sistem elektronik bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak di ruang digital.
Langkah itu, Meutya berkata termasuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada memiliki akaun di platform berisiko tinggi seperti media sosial dan perkhidmatan rangkaian.
“Dasarnya adalah jelas, anak-anak kita menghadapi ancaman yang semakin nyata. Ini termasuk daripada pendedahan kepada pornografi, buli siber, penipuan dalam talian dan yang paling membimbangkan ialah ketagihan.
“Pemerintah hadir agar ibu bapa tidak lagi bertarung sendirian melawan raksasa algoritma,” katanya dalam mesej video yang dimuat naik di platform media sosial kementerian itu pada Jumaat.
Meutya berkata bermula dari tarikh pelaksanaan itu, akaun media sosial milik kanak-kanak bawah 16 tahun di platform berisiko tinggi termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Thread, X, Bigolive, dan Roblox akan mula dinyahaktifkan.
Beliau berkata proses berkenaan akan dijalankan secara berperingkat sehingga semua platform mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Meutya menyifatkan langkah itu sebagai "langkah terbaik" yang bertujuan untuk melindungi masa depan kanak-kanak Indonesia dalam era digital.
“Langkah ini kita ambil untuk merebut kembali kedaulatan masa depan anak-anak kita. Kita ingin teknologi itu memanusiakan manusia, bukan mengorbankan zaman kanak-kanak anak-anak kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial