DUNIA > BERITA

IRAN TEGASKAN TIDAK TUTUP SELAT HORMUZ

07/03/2026 12:30 AM

NEW DELHI, 6 Mac (Bernama) -- Iran tidak menutup Selat Hormuz, laluan laut penting bagi pengangkutan tenaga dalam konflik yang berterusan antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kata Timbalan Menteri Luar Iran Saeed Khatibzadeh pada Jumaat.

Khatibzadeh, yang berucap pada sebuah persidangan di New Delhi, berkata penurunan mendadak trafik perkapalan melalui selat itu berpunca daripada keengganan syarikat insurans untuk menginsuranskan kapal yang menuju ke kawasan berkenaan.

“Kami tidak menutup Selat Hormuz dan kami tidak berhasrat untuk berbuat demikian sehingga diberitahu kelak,” katanya.

“Jika kami menutupnya, kami akan mengumumkannya,” kata Khatibzadeh sambil menambah bahawa langkah sedemikian akan diambil secara “bertanggungjawab” kerana Iran merupakan “tonggak kestabilan” di rantau itu.

Serangan AS-Israel terhadap Iran serta tindakan balas Iran di seluruh rantau itu telah mencetuskan kekacauan perjalanan dan mengganggu aliran tenaga.

Iran akan terus menentang usaha Israel dan AS untuk menggulingkan kerajaan negara itu, kata timbalan menteri luar itu kepada pemberita.

“AS telah membunuh pemimpin sebuah negara lain. Jika ini menjadi norma baharu, maka tiada negara boleh mempunyai hubungan diplomatik dan hubungan normal dengan negara lain,” katanya merujuk kepada pembunuhan Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei dalam pengeboman AS-Israel pada 28 Februari lepas.

“Amerika telah memutuskan untuk menamatkan kewujudan Iran. Israel telah menjanjikan perkara ini selama beberapa dekad kerana khayalan mereka mengenai “Greater Israel”,” kata Khatibzadeh, merujuk kepada projek ideologi Zionis untuk menduduki bukan sahaja seluruh Palestin tetapi juga kawasan atau keseluruhan Jordan, Lubnan, Syria, Iraq, Mesir dan Arab Saudi.

Khatibzadeh berkata AS mempunyai pangkalan tentera di seluruh rantau itu untuk menyasarkan Iran.

“Kami tiada pilihan selain menamatkan kehadiran Amerika Syarikat di kawasan sekitar Iran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan