RIYADH, 9 Mac (Bernama-CMG) -- Utusan Khas Kerajaan China bagi Isu Asia Barat, Zhai Jun melawat Arab Saudi dan menghadiri pertemuan dengan Menteri Luar negara itu, Faisal Bin Abdulaziz Al Saud di sini pada Isnin.
Faisal menyatakan bahawa pihaknya amat menyedari bahaya yang dibawa kesan limpahan daripada peperangan dan kekal bersabar secara maksimum buat masa sekarang.
"Arab Saudi menghargai usaha yang dibuat China sejak sekian lama untuk menegakkan keadilan, dan berharap Beijing terus memainkan peranan yang kondusif, mendorong pihak-pihak terbabit mewujudkan gencatan senjata dan menghentikan peperangan, di samping mengelakkan situasi serantau daripada meruncing," katanya lagi.
Zhai Jun berkata China yang amat prihatin terhadap ketegangan semasa di rantau itu sentiasa berpendapat bahawa manifesto dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta norma asas antarabangsa tidak boleh diinjak-injak.
"Kedaulatan, keamanan, dan keutuhan wilayah setiap negara di kawasan Teluk tidak boleh dicabuli, dan sebarang serangan terhadap orang awam dan sasaran bukan ketenteraan seharusnya mendapat kecaman."
"Mencapai kedamaian dan menghentikan peperangan adalah pendekatan asas untuk menoktahkan situasi yang kacau-bilau itu," tegas Zhai Jun.
Sehubungan itu, China mendesak semua pihak supaya segera menghentikan tindakan ketenteraan, mengelakkan ketegangan daripada meruncing, dan mencegah kemudaratan lebih besar dalam kalangan rakyat negara-negara serantau.
Sebagai negara kuasa besar yang menegakkan keadilan serta sahabat baik dan rakan kongsi bagi Arab Saudi, China akan terus memainkan peranan yang membina, bersedia bersama dengan Arab Saudi untuk mewujudkan pengantaraan dengan pihak-pihak terbabit, bagi memulihkan kedamaian dan kestabilan di rantau Teluk.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial