KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneruskan operasi evakuasi bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Asia Barat susulan konflik yang semakin memuncak di rantau itu sekiranya keadaan memerlukan.
Beliau berkata operasi itu yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar serta perwakilan diplomatik Malaysia di Asia Barat telah berjaya membawa pulang kumpulan pertama rakyat Malaysia yang tiba di tanah air tengah hari tadi.
“Syukur Alhamdulillah kerana kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Asia Barat telah tiba hari ini sekitar 12.30 tengah hari.
“Operasi membawa pulang akan diteruskan tetapi kita tentunya akan memantau kerana sebahagian besar daripada mereka telah pun mampu menggunakan jalur biasa penerbangan dan pulang dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai perkembangan mutakhir konflik di Asia Barat pada Rabu.
Sebanyak 163 rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa negara di rantau Asia Barat selamat tiba di Malaysia pada 12.32 tengah hari tadi dengan penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines.
Menurut Kementerian Luar, kumpulan itu merangkumi jemaah umrah dari Arab Saudi serta rakyat Malaysia dari Qatar, Jordan dan Syria, yang terjejas susulan gangguan jadual penerbangan serta penutupan ruang udara di rantau berkenaan.
Penerbangan bagi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat yang berlepas dari Jeddah awal pagi ini turut membawa tujuh ahli keluarga bukan warganegara, iaitu lima rakyat Thailand, serta masing-masing seorang warga Indonesia dan Maghribi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial