JAKARTA, 12 Mac (Bernama) -- Dana kekayaan negara Indonesia, Danantara mula menunjukkan kemajuan awal dalam mengurus aset milik kerajaan dan akan terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara itu di tengah-tengah ketidaktentuan serta krisis global, kata Presiden Prabowo Subianto.
Berucap pada majlis sempena ulang tahun pertama Danantara, Prabowo berkata institusi itu mencerminkan tekad Indonesia untuk mengurus kekayaan negara yang melimpah secara profesional sambil memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedaulatan negara.
Beliau berkata persekitaran global ketika ini semakin dicirikan oleh ketidaktentuan dan krisis, namun cabaran itu juga boleh mewujudkan peluang bagi negara yang bersedia dan berdaya tahan.
“Krisis sentiasa menghasilkan peluang. Krisis adalah ujian dan batu loncatan. Yang kuat akan bertahan, manakala yang tidak kuat akan terus menderita. Inilah pengajaran daripada sejarah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden pada Khamis malam.
Danantara ditubuhkan pada Februari tahun lepas bagi menyatukan serta mengoptimumkan pengurusan aset dan pelaburan milik kerajaan Indonesia, dan dijangka memainkan peranan yang semakin penting dalam memperkukuh daya tahan ekonomi serta pembangunan jangka panjang negara itu.
Prabowo melahirkan keyakinan bahawa sumber asli Indonesia yang melimpah menyediakan asas kukuh untuk negara itu mengharungi cabaran global dan mengekalkan kestabilan ekonomi, selain beberapa langkah telah diambil bagi merealisasikan daya tahan negara termasuk program sara diri makanan dan tenaga dengan Danantara turut memainkan peranan dalam usaha berkenaan.
Beliau berkata selain memainkan peranan dalam usaha kerajaan memastikan daya tahan dan kedaulatan negara, Danantara juga membuktikan kemampuan Indonesia mengurus kekayaan negara secara profesional, setanding dengan dana kekayaan negara, negara lain.
“Danantara juga membuktikan bahawa Indonesia, dengan tekad dan keazaman yang kuat, mampu mencapai perkara besar serta seiring dengan pencapaian negara lain,” katanya.
Presiden itu turut mengalu-alukan prestasi awal dana berkenaan dengan berkata beliau menerima laporan yang menunjukkan peningkatan kukuh dalam pulangan aset sepanjang tahun pertama operasinya.
“Saya menerima laporan itu dan saya agak berpuas hati. Pulangan aset pada 2025 berbanding tahun-tahun sebelumnya meningkat lebih 300 peratus. Ini amat baik dan membuktikan asas penubuhan Danantara,” katanya.
Prabowo menggesa pengurusan Danantara supaya mengekalkan tadbir urus yang kukuh sambil menegaskan institusi itu memikul tanggungjawab melindungi kekayaan negara untuk generasi akan datang.
“Ingat, harapan seluruh bangsa terletak di bahu anda. Anda menjaga dan mengurus kekayaan anak-anak, cucu serta cicit kita,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan dan Hiliran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Danantara Rosan Roeslani berkata Danantara berperanan sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lapan peratus di samping memastikan manfaat pembangunan diagihkan secara saksama.
“Di Danantara, kami mempunyai matlamat yang lebih luas iaitu bagaimana mewujudkan pertumbuhan ekonomi lapan peratus sambil memastikan manfaatnya diagihkan kepada semua lapisan masyarakat Indonesia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial