DUNIA > BERITA

G7 PERTIMBANG IRING KAPAL DI ASIA BARAT SUSULAN KONFLIK – PENGERUSI PERANCIS

12/03/2026 08:52 PM

TOKYO, 12 Mac (Bernama-Kyodo) -- Kumpulan Tujuh negara perindustrian (G7) pada Rabu bersetuju untuk meneroka kemungkinan mengiringi kapal di Asia Barat apabila keadaan keselamatan mengizinkan, menurut Perancis selaku Pengerusi G7 tahun ini di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, lapor Agensi Berita Kyodo.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang kemuncak dalam talian kumpulan itu, kerajaan Perancis berkata rancangan untuk mengiringi kapal itu bertujuan memulihkan “kebebasan pelayaran di rantau itu.”

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Minoru Kihara berkata dalam sidang media di Tokyo pada Khamis yang pengumuman itu dibuat oleh Perancis berdasarkan “keputusan sendiri sebagai pengerusi” dan beliau tidak mengulas lanjut mengenai butirannya.

Jepun mungkin berdepan keputusan sukar sama ada untuk menyertai pengiringan kapal yang dirancang oleh pasukan negara anggota G7, memandangkan negara itu sekian lama mengamalkan dasar pertahanan semata-mata di bawah Perlembagaan yang menolak perang, yang hanya membenarkan penggunaan terhad pertahanan diri kolektif.

“Mengekalkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat amat penting bagi Jepun dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan negara berkaitan, termasuk anggota G7, serta melakukan segala usaha diplomatik yang perlu ke arah meredakan keadaan secepat mungkin,” menurut Kihara, jurucakap tertinggi Kerajaan Jepun.

Jepun mengimport lebih 90 peratus minyaknya dari Asia Barat, menjadikannya terdedah kepada kesan penutupan Selat Hormuz yang menyekat pengangkutan minyak dan gas dari pembekal rantau itu selepas Amerika Syarikat dan Israel mula menyerang Iran lewat bulan lepas.

--BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan