ISTANBUL, 15 Mac (Bernama-Anadolu) -- Formula Satu (F1) mengesahkan pada awal Ahad bahawa perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain dan Arab Saudi tidak akan berlangsung pada April berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, F1 memaklumkan beberapa alternatif telah dipertimbangkan, namun akhirnya diputuskan bahawa tiada perlumbaan gantian akan diadakan pada April.
“Perlumbaan Formula 2, Formula 3 dan F1 Academy juga tidak akan berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan. Keputusan ini dibuat melalui rundingan penuh dengan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta penganjur berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula One Group Stefano Domenicali berkata keputusan itu sukar namun merupakan langkah yang tepat mengambil kira situasi semasa di Asia Barat.
“Bahrain dan Arab Saudi amat penting kepada ekosistem musim perlumbaan kami, dan saya berharap dapat kembali ke kedua-dua negara itu sebaik sahaja keadaan mengizinkan,” kata Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain Sheikh Salman bin Isa Al Khalifa menyatakan sokongan terhadap keputusan F1 itu serta mengucapkan terima kasih kepada FIA dan komuniti F1. Beliau berkata Bahrain menantikan kehadiran semula peminat apabila perlumbaan F1 kembali diadakan.
Pengerusi Persekutuan Automobil dan Motosikal Arab Saudi (SAMF) serta Pengerusi Saudi Motorsport Company (SMC), Putera Khalid bin Sultan Al-Abdullah Al-Faisal berkata kerajaan Arab Saudi menghormati keputusan kalendar F1 2026 dan menegaskan perkongsian berterusan dengan F1.
Sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lepas yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, termasuk PemimpinAgung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei, permusuhan semakin memuncak.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial