DUNIA > BERITA

SENATOR AS GESA “SIASATAN RAPI” BERHUBUNG SERANGAN SEKOLAH RENDAH DI IRAN

16/03/2026 01:54 PM

ISTANBUL, 16 Mac (Bernama-Anadolu) -- Senator Amerika Syarikat (AS) Mark Warner pada Ahad berkata bahawa “siasatan rapi” diperlukan berhubung serangan peluru berpandu pada penghujung Februari lepas ke atas sebuah sekolah rendah di bandar Minab di selatan Iran di tengah-tengah operasi ketenteraan bersama AS-Israel, lapor Anadolu Ajansi, memetik sebuah penyiar tempatan.

Bercakap kepada CBS News, Warner berkata beliau berasa “agak kecewa” apabila Presiden Donald Trump pada mulanya cuba menafikan peranan AS dalam serangan itu atau menyatakan bahawa ia dilakukan oleh Iran.

“Tetapi apa yang saya tidak mahu lakukan ialah membuat kesimpulan awal sama ada ia dilakukan oleh CENTCOM atau Agensi Perisikan Pertahanan. Itulah tujuan siasatan rapi dijalankan. Jelas sekali, ia adalah serangan Amerika,” katanya.

Beliau turut mengkritik Trump kerana mesej yang tidak jelas mengenai matlamat pentadbiran itu dalam perang dengan Iran, sambil menegaskan bahawa operasi ketenteraan berkenaan telah memberi kesan ekonomi yang ketara denganmenyatakan kenaikan harga petrol di negerinya, Virginia manakala petani melaporkan kos baja meningkat kira-kira 40 peratus.

Sekurang-kurangnya 150 pelajar perempuan terkorban dalam serangan udara ke atas Sekolah Rendah Shajareh Tayyebeh pada 28 Feb lepas, ketika AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran yang setakat ini telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ali Khamenei. Lebih 10,000 orang dilaporkan cedera dalam serangan itu.

Insiden berkenaan menarik perhatian antarabangsa di tengah-tengah dakwaan yang bercanggah mengenai pihak yang bertanggungjawab, namun kebanyakan analisis menyatakan bahawa serangan itu dilancarkan oleh AS.

Trump sebelum ini mendakwa Iran mungkin berada di sebalik serangan itu.

Selepas laporan muncul bahawa serangan itu melibatkan peluru berpandu krus Tomahawk yang lazim digunakan oleh tentera AS, beliau turut mendakwa tanpa mengemukakan sebarang bukti bahawa Iran memiliki beberapa Tomahawk.

Siasatan berhubung serangan itu masih diteruskan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan