LONDON, 23 Mac (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer pada Isnin berkata tiada sebarang penilaian bahawa UK menjadi sasaran Iran susulan perkembangan ketenteraan terkini di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Ketika bercakap kepada penyiar, Starmer berkata kerajaan sentiasa menilai potensi ancaman namun memberi jaminan bahawa risikan semasa tidak menunjukkan UK berada dalam keadaan berisiko.
Kenyataan Starmer dibuat selepas tentera Israel mendakwa pada Sabtu bahawa Iran kini mempunyai “peluru berpandu yang boleh sampai ke London, Paris atau Berlin.” Peluru berpandu Iran perlu menempuh jarak kira-kira 4,345 kilometer (km) untuk sampai ke London.
Dakwaan itu, yang dikongsi di platform media sosial X, dibuat susulan laporan bahawa Iran telah melancarkan peluru berpandu balistik ke arah pangkalan tentera AS-UK di Diego Garcia, terletak kira-kira 3,782 km dari pantai selatan Iran, namun tidak berjaya mengenainya.
Apabila ditanya sama ada UK berada dalam jangkauan peluru berpandu Iran selepas cubaan serangan itu, Starmer berkata kerajaan menjalankan penilaian “sepanjang masa bagi memastikan keselamatan kita, dan tiada penilaian bahawa kita menjadi sasaran dengan cara itu sama sekali.”
Beliau turut menekankan keperluan untuk meredakan ketegangan di Asia Barat, sambil menambah bahawa penting untuk mempertahankan kepentingan serta nyawa rakyat Britain “tanpa diheret ke dalam kancah peperangan.”
Perdana menteri Britain itu mengesahkan bahawa satu mesyuarat tergempar Cobra akan diadakan bagi membincangkan kesan lebih luas konflik berkenaan, khususnya terhadap kewangan isi rumah.
Mesyuarat Cobra menghimpunkan menteri kanan dan pegawai kerajaan bagi menyelaras tindak balas terhadap krisis besar.
Starmer berkata “kebanyakan rakyat” bimbang mengenai konflik itu sendiri serta kesannya terhadap mereka dan keluarga masing-masing.
“Dan hari ini kita meneliti kesan ekonomi, dan saya meminta supaya setiap langkah yang tersedia kepada kerajaan bagi menangani kos sara hidup dibincangkan dalam mesyuarat Cobra,” katanya kepada pemberita.
Beliau menambah bahawa Bank of England dan badan lain turut akan menghadiri mesyuarat itu, sambil menegaskan beliau mahu memastikan kerajaan “melakukan segala yang kami mampu” untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial