DUNIA > BERITA

KEMENTERIAN LUAR IRAN TOLAK DAKWAAN TRUMP MENGENAI RUNDINGAN

23/03/2026 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Luar Iran menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa rundingan sedang berlangsung dengan Iran, lapor Agensi Berita Mehr.

Kementerian itu menyatakan bahawa Trump bertujuan melengahkan keadaan bagi membolehkan pelaksanaan rancangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) serta menurunkan harga tenaga.

“Kenyataan Presiden AS itu adalah dalam rangka usaha untuk menurunkan harga tenaga dan mendapatkan masa bagi melaksanakan rancangan ketenteraannya.”

“Terdapat inisiatif oleh negara-negara serantau untuk meredakan ketegangan, dan respons kami terhadap semuanya adalah jelas: kami bukan pihak yang memulakan perang ini, dan semua permintaan ini seharusnya dirujuk kepada Washington,” menurut Kementerian Luar Iran .

Terdahulu, Trump berkata beliau telah mengarahkan penangguhan selama lima hari terhadap semua serangan ke atas loji tenaga dan infrastruktur tenaga Iran, dengan menyatakan rundingan “sangat baik dan produktif” dengan Tehran sejak dua hari lepas, lapor Anadolu Ajansi.

“Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa Amerika Syarikat dan negara Iran telah mengadakan perbincangan yang sangat baik dan produktif sepanjang dua hari lalu mengenai penyelesaian sepenuhnya dan menyeluruh terhadap permusuhan kami di Asia Barat,” kata Trump di platform media sosialnya, Truth Social.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lepas, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung Iran ketika itu Ali Khamenei.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban jiwa dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan