ISTANBUL, 26 Mac (Bernama-Anadolu) -- Kekurangan bahan api di seluruh Australia semakin meruncing, dengan lebih 500 stesen minyak dilaporkan kehabisan sekurang-kurangnya satu jenis bahan api, manakala puluhan lagi kehabisan sepenuhnya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menteri Tenaga Chris Bowen berkata 520 stesen minyak di seluruh negara mengalami kekurangan sekurang-kurangnya satu jenis bahan api, menurut ABC News.
Di New South Wales, pihak berkuasa memaklumkan daripada kira-kira 2,400 stesen minyak, sebanyak 32 kehabisan semua jenis bahan api, 313 kekurangan sekurang-kurangnya satu jenis yang biasanya dibekalkan dan 187 tidak mempunyai diesel.
Pegawai berkata semua stesen minyak yang kehabisan sepenuhnya bahan api terletak di kawasan luar bandar, sekali gus memberikan tekanan terhadap komuniti luar bandar.
Pihak berkuasa menjelaskan, masalah ini berpunca daripada isu pengedaran, bukannya kekurangan bekalan keseluruhan.
Kerajaan Persekutuan mengambil langkah untuk mengurangkan tekanan, termasuk menurunkan sementara piawaian bahan api diesel selama enam bulan bagi meningkatkan bekalan.
Bowen turut berkata sebahagian daripada rizab bahan api negara dilepaskan bagi menstabilkan keadaan.
Kekurangan ini berlaku ketika Australia yang amat bergantung kepada import bahan api berdepan kerentanan lebih tinggi terhadap gangguan bekalan serta peningkatan permintaan berkait konflik berterusan di Asia Barat.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial