EKONOMI > BERITA

PENYELARASAN SEMENTARA KUOTA BUDI95: LANGKAH MUNASABAH KURANGKAN PERBELANJAAN KERAJAAN

26/03/2026 11:46 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pengumuman kerajaan mengenai penyelarasan sementara kuota subsidi bulanan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 200 liter daripada 300 liter sebulan yang akan dilaksanakan pada April wajar diterima dengan hati terbuka serta rasional oleh rakyat Malaysia.

Tindakan yang amat perlu dilaksanakan kerajaan itu adalah langkah munasabah susulan kenaikan ketara harga minyak mentah dunia.

Langkah mengekalkan kuota subsidi bulanan BUDI95 bagi pemandu dan penghantar khidmat e-panggil pada 800 liter juga merupakan keputusan bersifat berpandangan jauh oleh kerajaan untuk menyokong sektor itu yang menjadi tukang belakang bagi mobiliti harian bandar dan digerakkan kebanyakan oleh kalangan berpendapatan rendah.

Keputusan untuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter juga adalah satu pertimbangan yang amat baik untuk tidak membebankan rakyat meskipun harga minyak mentah dunia kian meningkat.

Seperti yang dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengguna secara purata menggunakan BUDI95 sebanyak kira-kira 100 liter sebulan manakala hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

Ini bermakna majoriti pengguna RON95 tidak akan terkesan dengan penyelarasan sementara terhadap kuota itu.

Mengikut program BUDI95 yang diperkenalkan kerajaan pada September 2025, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter.

Ketika kerajaan mengamalkan disiplin fiskal, rakyat pula sewajarnya melakukan peranan yang sama penting dengan berjimat cermat.

Ini termasuk menjimatkan penggunaan bahan api, mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan bekerja dari rumah (BDR) terutama seandainya harga minyak mentah terus meningkat akibat konflik di Asia Barat.

Rakyat perlu menyedari jiran ASEAN seperti Filipina, Vietnam dan Kemboja sedang menghadapi tekanan ekonomi yang serius kerana negara terbabit merupakan negara pengguna minyak.

Sri Lanka pula mengisytiharkan setiap Rabu sebagai cuti bagi institusi awam untuk menjimatkan bahan api, manakala negara jiran ASEAN telah mengambil langkah penjimatan seperti memendekkan minggu kerja.

Harga petrol dan diesel di semua negara ini serta di peringkat global juga telah meningkat dengan ketara.

Situasi di Filipina, yang mengimport hampir 95 peratus keperluan minyaknya, adalah jauh lebih buruk apabila negara itu berada dalam keadaan darurat tenaga.

Bagi menjimatkan bahan api, Malaysia juga sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula pengaturan BDR.

Memandangkan kedudukan Malaysia sebagai pengimport bersih minyak mentah, adalah penting langkah-langkah itu diambil bagi mengurangkan tekanan perbelanjaan kerajaan.

Pada minggu lepas, subsidi bulanan kerajaan yang bertujuan mengurangkan beban kewangan, telah meningkat ketara daripada kira-kira RM700 juta kepada sehingga RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu susulan lonjakan harga minyak global.

Peningkatan harga minyak mentah itu akan hanya memberi tekanan inflasi terhadap kos makanan dan pengangkutan.

Apa yang pasti, jika harga barangan dan perkhidmatan meningkat, adalah penting untuk kalangan pengguna bertindak mengamalkan tabiat berbelanja secara berhemat.

Setakat hari ini, harga niaga hadapan minyak mentah Brent telah melonjak kepada lebih US$104 setong berikutan masalah bekalan selepas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel bertindak menyerang Iran pada 28 Februari lepas.

Sebagai tindak balas, Iran membedil pangkalan tentera dan kemudahan minyak dan penapisan minyak di beberapa negara Teluk yang bersekutu dengan Washington.

Tehran turut bertindak menutup Selat Hormuz yang menjadi nadi atau laluan utama perkapalan yang mengangkut satu perlima daripada jumlah bekalan minyak mentah dan gas asli cecair dunia.

Keadaan itu telah menjejaskan bekalan ke negara-negara Asia, termasuk beberapa negara pengguna minyak di Asia Tenggara.

Anwar baru-baru ini berkata hampir 50 peratus daripada bekalan minyak Malaysia melintasi Selat Hormuz berkenaan.

Sehubungan itu, sama seperti negara lain, Malaysia juga tidak terkecuali daripada terdedah kepada sebarang gangguan ke atas laluan perkapalan berkenaan memandangkan negara ini lebih banyak mengimport daripada mengeksport minyak.

Bersandarkan senario sedemikian, rakyat Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengawal kewangan dan tidak bergantung kepada kerajaan untuk subsidi bagi tempoh jangka panjang.

Apa yang pasti, sudah tiba masanya bagi rakyat untuk turut bersatu serta bekerjasama dengan kerajaan dalam matlamat sama untuk menangani krisis minyak semasa menerusi segenap daya usaha yang termampu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan