DUNIA > BERITA

KEMENTERIAN: PERATURAN BAHARU HARGA PETROL JERMAN BERKUAT KUASA 1 APRIL

30/03/2026 07:23 PM

BERLIN, 30 Mac (Bernama-dpa) -- Peraturan harga baharu Jerman bagi stesen minyak akan berkuat kuasa pada 1 April, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pengesahan jurucakap Kementerian Ekonomi pada Isnin.

Sebagai tindak balas kepada lonjakan harga minyak akibat perang di Asia Barat, kerajaan Jerman minggu lalu meluluskan Rang Undang-Undang yang mengehadkan stesen minyak hanya boleh menaikkan harga sekali sehari. 

RUU itu ditandatangani oleh Presiden Frank-Walter Steinmeier pada Jumaat dan mesti disiarkan dalam Warta Undang-undang Persekutuan sebelum berkuat kuasa.

Jurucakap itu berkata "pihak yang terlibat telah meminta kami untuk berusaha ke arah penguatkuasaan undang-undang tersebut pada 1 April bagi memastikan pelaksanaan yang lancar".

Oleh itu, RUU berkenaan akan disiarkan dalam Warta Undang-undang Persekutuan pada Selasa sebelum berkuat kuasa pada Rabu, tambah jurucakap itu.

Di bawah peraturan baharu tersebut, stesen minyak hanya dibenarkan menaikkan harga sekali sehari iaitu pada waktu tengah hari. Langkah itu bertujuan mengehadkan turun naik harga dan memastikan ketelusan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, pengurangan harga masih boleh dilakukan pada bila-bila masa. Peraturan itu mencontohi undang-undang serupa yang dilaksanakan di Austria.

Pengkritik dan pengguna memberi amaran bahawa langkah itu tidak mencukupi untuk menyekat harga di pam minyak.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan